Murid lelaki di perkampungan Orang Asli pula jadi ‘mangsa’ guru penolong kanan

Menggemparkan apabila seorang murid lelaki di sebuah sekolah kebangsaan di kawasan perkampungan Orang Asli di Pekan, Pahang menjadi ‘mangsa’ kepada guru berusia 45 tahun.

Susulan itu, telefon bimbit milik guru penolong kanan berkenaan dirampas bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap murid berusia 11 tahun itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, rampasan itu dibuat susulan ibu seorang murid sebuah sekolah di Chini, Pekan, membuat laporan guru lelaki terbabit melakukan amang seksual terhadap anaknya.

Beliau berkata, kejadian terbongkar selepas mangsa menceritakan perbuatan suspek kepada ibu mangsa selepas pulang membuat persembahan kebudayaan, 13 September lalu.

“Berdasarkan laporan gangguan seksual itu berlaku 12 September, ketika guru lelaki terbabit ditugaskan mengiringi 11 murid membuat persembahan kebudayaan dan mereka menginap di asrama sebuah pusat latihan, di sini (Pekan).

“Kira-kira jam 10 malam guru terbabit dikatakan mencabul mangsa dan mengajak murid lelaki terbabit ke katilnya.

“Guru berusia 45 tahun itu kemudian didakwa mencium dan melakukan kelucahan melampau terhadap kanak-kanak terbabit,” lapor BH, memetik kenyataan.

Mohd Zaidi memaklumkan bahawa suspek dibebaskan semalam dengan jaminan polis.

Jelasnya, pengawai penyiasat akan menghantar kertas siasatan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dengan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

BACA JUGA Krisis Pas-Bersatu gambaran ‘permainan duit’ sudah sebati dalam PN