Selangor Creative Economy Expo 2025 Tonjol Kreativiti Sebagai Pemacu Ekonomi Negeri

FOTO BERITA: Sidang Media Selangor Creative Economy Expo 2025 (SCEE25) & Pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif 2025 oleh YB Tuan Mohd Najwan Halimi, EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor di Sunset Terrace Sunway Resort Hotel Subang Jaya Selangor. 21hb September 2025 (Ahad)

Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan yang dipimpin oleh YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi, dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) sebagai agensi pelaksana, hari ini mengumumkan penganjuran Selangor Creative Economy Expo 2025 (SCEE25) pada 23 hingga 24 September 2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam. Ekspo ini akan disempurnakan oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Bertemakan “Re:Imagine Selangor – Creativity is the New Economy”, SCEE25 menandakan langkah penting dalam menjadikan kreativiti sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, seiring dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035. Menurut YB Najwan, ekspo ini bukan sekadar pameran, tetapi sebuah gerakan untuk membina ekosistem kreatif negeri yang inklusif dengan menghimpunkan kerajaan, sektor korporat, pelabur, NGO, akademia serta bakat kreatif.

Antara objektif utama SCEE25 termasuk merangsang kerjasama rentas sektor melalui jalinan strategik B2B, B2G dan B2C; menampilkan bakat, produk dan platform kreatif tempatan; serta memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab ekonomi kreatif serantau.

Ekspo ini memberi tumpuan kepada empat komponen utama yang dikenali sebagai CRE8 iaitu, CRE8Policy – Townhall, forum dan dialog dasar mengenai pembiayaan, pelesenan harta intelek serta pembangunan hab komuniti kreatif., CRE8Fund – Pelancaran Dana Mikro Kreatif Selangor bernilai RM80,000 bagi menyokong usahawan kreatif., CRE8Stage – Persembahan, sesi pitching, pameran dan pertunjukan seni bagi menghubungkan budaya dengan ekonomi dan CRE8Biz Xchange – Platform pemadanan perniagaan antara pelabur, jenama dan agensi kerajaan.

Ekonomi kreatif Selangor meliputi sektor seni budaya, seni multimedia, dan warisan budaya. Dengan sumbangan ekonomi kreatif yang semakin meningkat di peringkat global, SCEE25 dijangka membuka peluang perniagaan baharu, menggalakkan pelesenan dan kerjasama jenama, serta menyokong visi negeri mencapai RM20 bilion output ekonomi kreatif menjelang 2035.

“Ekspo ini bukan sekadar acara—ianya adalah komitmen untuk membayangkan semula masa depan Selangor. Kami menjemput orang ramai untuk hadir, meneroka pameran, menyertai forum, menyaksikan persembahan secara langsung, dan menjadi sebahagian daripada gerakan yang meletakkan kreativiti di teras ekonomi kita,” kata YB Najwan.