Bekas MB Terengganu jawab fitnah tentera siber musuh PH-BN
Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman tampil memberi penjelasan berhubung fitnah yang sedang disebarkan oleh sebuah akaun Facebook, ‘BN COMM Terengganu’ yang sebenarnya bukan daripada pihak BN.
Ahmad Razif berkata, gambarnya disalah guna seolah-olah beliau bersama bekas pegawai TCS merancang sesuatu untuk merampas kembali Terengganu.
Bekas Menteri Besar Terengganu berkenaan memberitahu gambar itu sebenarnya dirakam pada 15 Ogos lalu ketika beliau menemaninya untuk pemeriksaan kesihatan di KMI Batu Buruk.
“Secara kebetulan, saya terserempak dengan dua sahabat lama Dato’ Hj Wan Nawawi bin Wan Ismail (bekas SUK Terengganu) dan Hj Marzuki bin Endut (bekas TCS Terengganu).
“Pertemuan itu hanyalah sekadar bertanya khabar setelah lama tidak berjumpa,” jelasnya menerusi kenyataan malam tadi.
Sehubungan itu, beliau menafikan sekeras-kerasnya tuduhan jahat yang cuba dikaitkan melalui gambar tersebut.
“Ia adalah fitnah, berniat buruk dan tidak beretika.
“Saya faham mungkin ada yang makan gaji sebagai cybertrooper, tetapi fikirkanlah sedikit soal halal dan haram apabila menyebarkan fitnah.
“Gaji mungkin dapat, tetapi dosa dan balasan juga tidak boleh dielakkan,” tegas Ahmad Razif lagi.
Terdahulu, akaun Facebook ‘BN COMM Terengganu’ memuat naik gambar Ahmad Razif bersama Wan Nawawi dan Marzuki berserta #MADANIBekerja.
“Perancangan untuk menguasai semula Terengganu perlu dibuat. Terima kasih Hasbie Muda yang memberi peruntukan untuk kita kembali rapat dengan TCS, pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Terengganu.
“Doakan langkah ini berjalan dengan lancer,” menurut hantaran yang kemudian dinafikan Ahmad Razif.
Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Hasbie Muda dalam reaksi ringkasnya menulis,”Posting fitnah dari cybertrooper musuh PHBN di Terengganu”.
Mengulas lanjut, Ahmad Razif yang menduduki jawatan Menteri Besar ke-14 negeri itu dari 2013 hingga 2018 berkata, lebih menyedihkan, gambar itu dimanipulasi ketika beliau sedang menguruskan kesihatan isterinya.
“Perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab dan jelas menunjukkan betapa terdesaknya pihak tertentu.
“Saya percaya rakyat semakin matang menilai. Fitnah tidak akan bertahan lama kerana kebenaran akhirnya akan terserlah,” tegas Ahmad Razif lagi.
BACA JUGA Tiga sekutu rapat Israel ini akhirnya iktiraf negara Palestin