Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor, Cik Afzaa pada 2 Oktober depan
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan memaklumkan perkahwinan anakanda baginda, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dengan pasangannya, Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz, pada 2 Oktober depan.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang hari ini, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, Istiadat Pernikahan Diraja akan diadakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah di Klang.
“Istiadat Persandingan Diraja dan majlis santapan diraja bagi memuliakan Istiadat Perkahwinan Raja Muda Selangor akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober ini,” katanya.
Muhamad Munir turut memaklumkan Jabatan Agama Islam Selangor akan menganjurkan satu majlis bacaan Yasin dan doa selamat pada Khamis ini, di seluruh masjid di negeri Selangor.
Jelasnya, ia bagi memohon doa semoga istiadat perkahwinan dan majlis yang dirancang akan dapat berjalan dengan lancar dan sempurna serta mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
BACA JUGA Jual kereta mewah dan kondominium, wanita ini tenang menetap di kampung