‘Bos susu’ ucap syukur Farm Fresh kini tembusi Kemboja selepas inisiatif PMX
Ketua Pegawai Operasi dan Pemasaran Farm Fresh Sdn. Bhd., Azmi Zainal atau lebih dikenali sebagai bos susu meluahkan rasa bangga apabila produk tenusu syarikat itu kini berjaya menembusi pasaran Kemboja.
Beliau berkata ia bermula apabila berlaku pergeseran antara Kemboja dan Thailand yang menyebabkan rakyat Kemboja memboikot produk dari negara jiran itu serta menyekat kemasukan produk Thailand melalui darat sehingga bekalan susu segar menjadi kritikal.
Kata beliau, atas inisiatif Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri telah mencadangkan Farm Fresh membekal kan susu segar dengan kadar segera ke Kemboja.
Hasilnya susu pasteurise Farm Fresh, Aus Fresh dan yogurt menjadi pilihan rakyat di negara itu sehingga dikatakan licin tidak sampai seminggu.
“Atas inisiatif YAB PMX sebagai Pengerusi ASEAN, mencadangkan Farm Fresh membekal kan susu segar dengan kadar segera ke Cambodia.
“Aeon adalah pasar raya yang pertama keluarkan purchase order (PO) kepada Farm Fresh atas dasar keyakinan dan hubungan niaga yang telah lama bersama mereka.
“Alhamdulillah kini susu pasteurise Farm Fresh, Aus Fresh, yogurt menjadi pilihan rakyat Kemboja. Sampai je tak sampai seminggu licin.
“Kini kafe-kafe dan hotel-hotel di Kemboja dah mula minta kami supply. Kemboja adalah negara Asean ke 4 selepas Singapura, Brunei dan Filipina,” katanya di Facebook.
Azmi turut mengimbau bagaimana pesainya mendakwa Malaysia tidak mungkin mampu menjadi pengeksport produk tenusu.
Kini dengan perkembangan baharu ini, beliau mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada PM kerana banyak membantu.
“Dulu pesaing kami kata mustahil Malaysia boleh jadi pengeksport produk tenusu. Mereka kata cuaca kita tak sesuai. Tapi bagi kami bukan cuaca tapi siapa. Alhamdulillah kami berjaya melakukannya
“Terima kasih YAB PMX dan MITI yang banyak membantu merealisasikan projek ini,” ujarnya.
BACA JUGA Seminggu berlalu, mana calon PM dari Pas? – Soal Faiz