Pelan tindakan 10 tahun – Selangor sasar sumbangan RM20 bilion KDNK lndustri kreatif menjelang 2035

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Selangor Creative Economy Expo 2025 (SCEE25) yang disempurnakan oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin. Turut hadir YB Tuan Mohd Najwan Halimi, EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam Selangor. 23hb September 2025 (Selasa)

Kerajaan Negeri Selangor hari ini merasmikan Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) dengan tema “Re:Imagine Selangor – Creativity is the New Economy,” yang menandakan satu era baharu pembangunan industri kreatif negeri itu. Majlis pelancaran disempurnakan oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, bersama YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi, EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ekonomi Kreatif Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor, satu hala tuju 10 tahun bagi mengangkat Selangor sebagai hab kreatif serantau dengan sasaran menyumbang RM20 bilion KDNK menjelang 2035.

Pelan tersebut berteraskan tiga strategi utama iaitu, Pertumbuhan Kreatif Mampan – memupuk inovasi, keusahawanan, serta peluang eksport, Penyertaan Inklusif – memperkukuh bakat tempatan dan memperluas akses kepada platform kreatif dan Pemeliharaan Warisan Budaya – memartabatkan identiti unik Selangor melalui pelancongan warisan dan penglibatan masyarakat.

Enam pemangkin utama turut digariskan iaitu pembangunan bakat, pemerkasaan digital, akses kepada pembiayaan, kesiapsiagaan infrastruktur, akses pasaran serta tadbir urus mantap.

Ekspo yang berlangsung pada 23–24 September 2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam ini berfungsi sebagai platform pelaksanaan awal Pelan Tindakan berkenaan.

Antara pengisian utama SCEE25 termasuk, Sesi townhall, forum, dan bengkel bersama pihak berkepentingan, CRE8Biz Xchange – platform pemadanan perniagaan B2B, B2G, dan B2C, CRE8Fund – Dana Mikro Kreatif Selangor bagi menyokong syarikat pemula dan pencipta, CRE8Stage – pameran, persembahan serta pengalaman interaktif menampilkan bakat tempatan, Sesi rangkaian dan pemeteraian MoU dengan rakan strategik merentas industri dan Ekonomi Kreatif: Pemacu Baharu Negeri

Menurut YB Najwan, ekonomi kreatif kini melangkaui seni dan budaya semata-mata, sebaliknya menjadi pemacu pekerjaan bernilai tinggi, inovasi, pelancongan, serta pembinaan identiti global Selangor.

“Pelan Tindakan ini menyediakan laluan jelas untuk menjadikan kreativiti sebagai pemacu ekonomi sebenar bagi negeri ini,” ujarnya.

Pada 2022, industri kreatif Selangor telah menyumbang RM8–10 bilion KDNK, dengan potensi pertumbuhan kukuh dalam sektor media digital, filem, reka bentuk, seni budaya dan warisan. Melalui Pelan Tindakan ini, nilai tersebut dijangka berganda menjelang 2035.

Tentang Penganjur
Ekspo ini dianjurkan bersama oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Selangor Youth Community (SAY) dengan sokongan rakan strategik daripada sektor awam dan swasta.