Ramai ketawa MP Pas ini sembang isu subsidi petrol BUDI95
Pendapat Ahli Parlimen Bachok dari Pas, Syahir Sulaiman mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dilihat mengundang reaksi sinis orang ramai.
Menerusi perkongsian artikel Penolong Setiausaha Agung Pas itu di Facebook rasmi sayap pemuda parti pembangkang tersebut, lebih banyak emoji ketawa ditinggalkan netizen berbanding tanda setuju.

Syahir dalam tulisan bertajuk,”Subsidi Petrol: Reaksi Sederhana, Rakyat Waspada” itu antara lain mengkritik program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang menetapkan harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter, penurunan daripada RM2.05 bermula 30 September ini.
“BUDI95 tidak mengenakan had pendapatan, T15 mahupun B85, sebaliknya hanya menetapkan had penggunaan 300 liter sebulan.
“Pendekatan ini tidak mengambil kira variasi sebenar keperluan rakyat – sama ada keluarga besar atau kecil, jenis kenderaan, jarak ulang-alik tempat kerja, bahkan perjalanan pulang ke kampung beratus kilometer.
“Ringkasnya, subsidi yang dikatakan bersasar kelihatan sedikit tersasar,” dakwa Syahir.
Selain itu, beliau berpendapat pengesahan melalui MyKad membuka persoalan tentang integriti sistem dan perlindungan maklumat peribadi serta berpotensi menimbulkan kerumitan di stesen minyak, termasuk proses verifikasi yang lebih panjang.
Serba tak kena
Rata-rata menempelak pemimpin Pas berkenaan serta mempersoal apa dilakukan parti itu sepanjang 33 bulan menduduki kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Antaranya, Azzan Aznan yang meminta Pemuda Pas menyenaraikan kembali dasar, pelan atau pun perkara yang parti itu laksanakan semasa menjadi sebahagian kerajaan antara Mac 2020 hingga November 2022.
“Kita letak tepi dulu hal-hal yang Pas bawa sebelum PRU seperti RUU355, PTPTN dan hudud, sebab ini memang tak buat. Takpe cuba senaraikan apa yang Pas buat?” kata Azzan.
Sementara itu, Amir Asyraf Jamal berpendapat dasar yang baik dipuji sebaliknya yang buruk baru dikritik tetapi berikan penyelesaian atau alternatif yang lebih baik.
“Tapi kalau benda baik macam harga minyak turun ni pun kau kecam, maksudnya hati kau busuk. Tak payah guna nama rakyatlah,” tempelaknya.
Bagi Mohd Haidar pula, pihak pembangkang sendiri ketika memegang tampuk kuasa sebelum ini gagal mengambil langkah berkesan untuk menangani rungutan rakyat berhubung isu ketirisan subsidi petrol.
“Kerajaan dah cari inisiatif kekang kebocoran subsidi pada yang tak layak, korang (Pas) bising, itu tak kena, ini tak kena, dulu masa berkuasa, rakyat komplen benda sama, korang tak buat apa-apa pun,” kata Haidar.
BACA JUGA BUDI95: Rakyat puji boleh guna Touch ‘n Go, Setel