Mufti Besar Arab Saudi meninggal dunia
Mahkamah Diraja Arab Saudi hari ini mengumumkan tentang pemergian Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz bin Abdullah Al-Sheikh, pada usia 82 tahun.
Menurut kenyataan rasmi, solat jenazah ke atas Almarhum diadakan selepas solat Asar di Masjid Imam Turki bin Abdullah, Riyadh.
Kerajaan turut mengarahkan solat jenazah ghaib dilakukan selepas solat Asar di seluruh masjid Arab Saudi, termasuk Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah, lapor Al Jazeera.

Almarhum Sheikh Abdulaziz merupakan salah seorang tokoh agama yang paling berpengaruh di dunia Islam.
Beliau dilantik sebagai Mufti Besar pada 1999, menggantikan Sheikh Abdulaziz bin Baz.
Sepanjang lebih dua dekad, beliau mengetuai Hai’ah Kibar al-Ulama (Majlis Ulama Tertinggi) serta Jawatankuasa Tetap Kajian Ilmiah dan Fatwa.
Kenyataan rasmi menyifatkan pemergian beliau sebagai “kehilangan besar bagi umat Islam”, dengan menegaskan bahawa Almarhum telah mengabdikan hidupnya dalam menyebarkan ilmu agama, fatwa, serta mendidik generasi ulama baharu.
Beberapa masjid utama di seluruh Arab Saudi telah dipenuhi jemaah yang hadir untuk menunaikan solat jenazah ghaib, manakala ramai tokoh ulama dan pemimpin dunia Islam menyampaikan ucapan takziah atas pemergian beliau.
BACA JUGA Kenderaan asing boleh beli RON95? Ini penjelasan Amir Hamzah