Kerajaan buka portal BUDI MADANI esok untuk semakan kelayakan subsidi petrol
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan siling kelayakan bulanan sehingga 300 liter sebulan bagi inisiatif subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menjadi penampan terhadap eksploitasi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab, sama ada penyeludup di sempadan mahupun syarikat komersial berskala besar.
Menurut MoF, bagi memudahkan rakyat menyemak profil kelayakan dan baki penggunaan kelayakan bulanan, kerajaan telah menyediakan portal www.budimadani.gov.my yang akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 25 September, bermula jam 9 pagi.
“Pemandu e-hailing juga boleh memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka di portal ini,” menurut kenyataan MoF.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai BUDI MADANI di talian 1300-88-9595, bermula 9 pagi esok.

Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa pada 30 September ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95 dan berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta orang layak menerima subsidi itu.
BACA JUGA BUDI95: Rakyat puji boleh guna Touch ‘n Go, Setel