LKIM sumbang RM275,000 bantuan peralatan perikanan kepada nelayan Pelabuhan Klang

FOTO BERITA: Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil bersama nelayan Pelabuhan Klang di PNK Pelabuhan Klang, Seksyen 4, Jalan Tangki, Sungai Aur, Pelabuhan Klang Selangor. 23hb September 2025 Selasa. (Gambar: Sam)

Seramai 31 orang nelayan di bawah seliaan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pelabuhan Klang menerima bantuan peralatan perikanan dalam Program Rahmah Mesra Madani bersama Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil semalam.

Melalui program tersebut, sumbangan berupa pukat, tong ikan berinsulasi, serta sebuah enjin bot 40 kuasa kuda diberikan kepada nelayan aktif, Nordin Bahjan, bagi menggantikan enjin lamanya yang rosak. Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi membolehkan beliau meneruskan aktiviti tangkapan ikan.

Selain itu, sebanyak 22 unit enjin 30 kuasa kuda turut diserahkan di bawah Program Peningkatan Pendapatan – Insentif Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point) kepada nelayan dari lima kawasan iaitu PNK Pelabuhan Klang, PNK Sepang, PNK Sungai Besar, PNK Kuala Langat dan PNK Kuala Selangor. Peruntukan keseluruhan bernilai RM225,000 ini dijangka membantu meningkatkan produktiviti nelayan.

Bantuan Touch Point B40 yang diperuntukkan melalui Belanjawan 2025 berjumlah RM3 juta itu bertujuan meningkatkan kecekapan dan kemahiran nelayan bagi menjayakan agenda peningkatan taraf sosio-ekonomi serta menjamin keterjaminan makanan negara.

Dalam ucapannya, Faiz mengingatkan nelayan dan persatuan nelayan agar mematuhi tatacara pengendalian subsidi diesel, mengelakkan sebarang penyelewengan, serta menguasai keseluruhan rantaian nilai perniagaan perikanan termasuk pemasaran, akuakultur dan sektor hiliran.

“Industri perikanan perlu diperkasa melalui agenda reformasi 4P – Pulih, Progres, Perkasa dan Pintar – manakala persatuan nelayan digalakkan menerajui transformasi melalui konsep 1P1P (1 Persatuan 1 Produk) supaya mampu menjadi penggerak ekonomi kepada ahli-ahli,” katanya.

PNK Pelabuhan Klang kini mempunyai 880 ahli, dengan 682 orang menerima elaun sara hidup dan 460 vesel mendapat subsidi minyak. Pada tahun 2024, Selangor merekodkan pendaratan ikan sebanyak 89,774 metrik tan, iaitu keempat tertinggi di Malaysia, membuktikan potensi besar industri perikanan negeri ini dalam menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara.

Selain bantuan peralatan, Program Khas Perumahan Nelayan turut memberi manfaat kepada komuniti di bawah PNK Pelabuhan Klang dengan 8 rumah baik pulih siap dilaksanakan sejak 2012. Bagi tahun 2025, sebanyak 3 rumah baharu akan dibina dan 3 rumah lagi dibaik pulih.

Turut hadir dalam program ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, YB Azmizam Zaman Huri, bersama kepimpinan parti-parti politik termasuk Amanah Kawasan Klang.

Kerajaan Perpaduan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menegaskan komitmen untuk terus menyuburkan agenda Malaysia Madani dalam membela kebajikan nelayan dan memperkasa ekonomi perikanan negara.