Malaysia perkukuh kerjasama strategik dengan WIPO dalam bidang harta intelek dan inovasi

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) yang berpangkalan di Geneva, Switzerland. (Gambar: UKK KPDN)

Kerjasama ini dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang harta intelek dan inovasi yang memberi penekanan kepada pemajuan sistem paten negara. MoU ini merupakan sebahagian daripada usaha memastikan ekosistem harta intelek Malaysia terus berkembang serta berdaya saing di peringkat global.

Antara ruang lingkup kerjasama yang dipersetujui termasuk memperluas latihan dan pembangunan kapasiti, mengukuhkan penguatkuasaan hak harta intelek serta menyediakan sokongan dan bantuan teknikal.

Majlis menandatangani MoU berlangsung sempena sesi kunjungan hormat Ketua Pengarah WIPO, Encik Daren Tang Heng Shim dalam rangka lawatan kerja beliau ke Malaysia dari 22 hingga 24 September 2025.

Dalam pertemuan tersebut, WIPO turut menyatakan komitmen melantik seorang pegawai MyIPO sebagai Felo Pelawat ASEAN di WIPO (IP dan ekonomi). Pelantikan ini dijangka menyumbang kepada penyelidikan berasaskan data mengenai ekosistem inovasi, menilai kesan dasar terhadap aktiviti inovatif serta memperkukuh kepakaran serantau dalam bidang ekonomi inovasi dan harta intelek.

Selain itu, WIPO turut mempelawa pegawai paten, profesional paten dan agensi kerajaan menyertai WIPO International Patent Drafting Training Program bagi meningkatkan kemahiran penggubalan paten mengikut piawaian antarabangsa. Program ini merangkumi Inventor Assistance Program (IAP) yang menawarkan bimbingan profesional secara pro bono kepada pencipta individu dan perusahaan kecil dalam proses permohonan paten.

Kerjasama ini juga melibatkan penglibatan Malaysia dalam beberapa projek strategik ASEAN termasuk, Projek Analitik Paten ASEAN yang menampilkan kejayaan inovasi tempatan seperti MyB Prosthetic Limb Technology di pentas global, Projek ASEAN Lab2Market yang menggerakkan komersialisasi inovasi universiti dan Projek Pembiayaan IP ASEAN yang membangunkan instrumen pembiayaan berasaskan harta intelek bersama institusi kewangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali, yakin kerjasama strategik ini menjadi pemangkin penting dalam mengangkat Malaysia sebagai negara yang proaktif dalam pemerkasaan harta intelek, seiring aspirasi Malaysia MADANI untuk memacu ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi yang mampan.