Tak ‘renew’ lesen lebih 3 tahun, tak dapat subsidi RON95
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengingatkan orang ramai untuk segera memperbaharui lesen memandu mereka, terutama lesen yang hampir tiga tahun tamat tempoh.
Ini kerana kata beliau, rakyat yang gagal memperbaharui lesen memandu lebih daripada tiga tahun tidak akan mendapat subsidi petrol RON95.
Menurut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seramai 925,421 pemegang lesen dikenal pasti masih belum memperbaharui lesen masing-masing, dengan 154,641 daripadanya hampir mencecah tempoh tiga tahun.
“Saya menasihatkan lebih 925,000 orang yang walaupun lesennya masih aktif tetapi tidak diperbaharui, supaya segera memperbaharui lesen terutama mereka yang mencapai hampir tiga tahun.
“Ada lebih 154,000 orang yang lesennya tak diperbaharui hampir tiga tahun.
“Mereka ini nanti tidak layak dapat subsidi RON95 automatik, sebab apabila lesen tak sah, secara automatik akan disekat melalui sistem MOF,” katanya dalam sidang media tadi.
Berdasarkan rekod terkini JPJ, didapati terdapat 2.4 juta pemegang lesen memandu kompeten berada dalam status tidak aktif iaitu tamat tempoh melebihi tiga tahun.