Malaysia–Timor-Leste teroka kerjasama baharu perkukuh hubungan dua hala

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menyampaikan Ucapan Khas di Parlimen Nasional Timor-Leste sempena lawatan rasmi beliau ke negara itu sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao serta barisan Kabinetnya.

Anwar menerusi kenyataan di Facebook berkata, pertemuan tersebut dimanfaatkan untuk meneroka kerjasama baharu dalam bidang pertahanan, komunikasi dan pendidikan bagi memperkukuh hubungan erat Malaysia–Timor-Leste serta menyumbang kepada kekuatan dan perpaduan ASEAN.

“Kami kemudian menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) perniagaan melibatkan Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Banco Central de Timor-Leste (BCTL), serta antara Asian Institute of Insurance (AII) dan BCTL yang merangkumi kerjasama dalam sektor kewangan serta penambahbaikan dalam pendidikan dan latihan insurans,” menurut beliau.

Semalam, Anwar ke Republik Demokratik Timor-Leste untuk lawatan rasmi atas jemputan Kay Rala Xanana Gusmao.

Lawatan rasmi ini penting untuk memperkukuh hubungan dua hala serta menyokong kesediaan Timor-Leste sebagai bakal anggota ke-11 ASEAN.

BACA JUGA Bukti hansard tunjuk Annuar Musa mahu mansuh akta MAS, bukan Khalid – Peguam