AMANAH Johor tolak sikap abang besar dalam perbincangan PH-BN hadapi PRN

AMANAH Johor menolak sebarang bentuk dominasi atau sikap ‘abang besar’ daripada mana-mana parti, sama ada Pakatan Harapan (PH) mahupun Barisan Nasional (BN) dalam perbincangan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. 

Timbalan Pengerusinya, Sr. Dzulkefly Ahmad menegaskan, rundingan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya akan datang mestilah berlangsung secara matang, setara dan saling menghormati antara semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Rundingan kerusi, strategi kempen, dan pembahagian tanggungjawab harus dilaksanakan dengan mengambil kira kekuatan serta sumbangan setiap parti, bukan berdasarkan kedudukan sejarah atau jumlah kerusi semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harapan Daily hari ini.

Dzulkefly berkata, walaupun PH tidak berada di dalam kerajaan Johor tetapi peranan PH selaku tunggak utama Kerajaan Perpaduan banyak membantu kerajaan Johor dalam menjana ekonomi yang lebih mampan melalui Johor Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), Johor Special Financial Zone (JSFZ), RTS dan Landasan Berkembar Gemas-JB.

Beliau juga menekankan supaya rakan gabungan menghormati pandangan satu sama lain, kerana rakyat Johor mengharapkan kepimpinan yang bersatu, bukannya pertikaian dalaman yang mencetuskan persepsi negatif.

“AMANAH Johor juga menyeru supaya perbincangan mengenai agihan kerusi dilakukan lebih awal dengan penuh ketelusan bagi mengelakkan salah faham, dan menekankan keutamaan utama ialah mempertahankan kestabilan politik negeri serta kebajikan serta kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

BACA JUGA Bukti hansard tunjuk Annuar Musa mahu mansuh akta MAS, bukan Khalid – Peguam