Vape disasar haram jual seawal pertengahan 2026
Penjualan rokok elektronik atau vape disasar akan diharamkan seawal-awalnya pada pertengahan tahun depan.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pihaknya kekal komited mengharamkan produk rokok itu tetapi akan mengambil pendekatan secara berperingkat.
“Saya berharap ia dapat dilaksanakan pada pertengahan 2026. Jika tidak, pada separuh kedua tahun depan.
“Namun, perlu diingat, ada banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan. Bagaimanapun, kita (KKM) tetap mahu mengharamkan penjualan (vape),” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Induk Nasional Tingkah Laku Dalam Kesihatan, di Cyberjaya, hari ini.
Sebelum ini, Dr Dzulkefly dilapor berkata, pengharaman vape akan dibuat secara berperingkat.
Jelas beliau, ia bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape sehingga meliputi keseluruhan produk.
Setakat ini, enam kerajaan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan vape melalui bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.
Untuk rekod, rokok elektronik mempunyai bahan kimia toksik mengakibatkan ketagihan nikotin yang boleh merosakkan paru-paru serta otak terutama dalam kalangan remaja.
BACA JUGA Mat Sabu puji tindakan Itali, Sepanyol hantar kapal tentera laut bantu misi Sumud Flotilla