Menteri Pertanian seru LKIM lahirkan lebih ramai ‘Jutawan Nelayan’

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang LKIM Tahun 2025 oleh YB. Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan. Turut hadir YBhg. Tuan Haji Muhammad Faiz Fadzil Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Encik Hamdan Mamat Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di The Everly Putrajaya Hotel Putrajaya. 25hb September 2025 (Khamis)

PUTRAJAYA, 25 September 2025 – Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tahun 2025 hari ini berlangsung penuh meriah dengan pengiktirafan diberikan kepada 105 warga kerja agensi berkenaan.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, yang menzahirkan penghargaan atas dedikasi serta komitmen seluruh warga LKIM dalam melaksanakan amanah demi kesejahteraan komuniti nelayan negara.

Daripada jumlah penerima, 14 orang adalah daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional manakala 91 orang lagi dari Kumpulan Sokongan. Dalam ucapannya, Mohamad menegaskan bahawa pengiktirafan APC bukan sekadar tanda penghormatan terhadap prestasi kerja, sebaliknya lambang budaya kerja cemerlang, perkhidmatan berkualiti dan semangat berpasukan yang padu.

“Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang mula dilaksanakan sejak 24 November 2024 membuktikan bahawa perubahan boleh dilakukan apabila ada keazaman. LKIM sendiri telah berjaya mempercepatkan kelulusan Lesen Urusniaga Ikan daripada 21 hari kepada 14 hari, manakala semakan status nelayan meninggal dunia bagi bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) kini hanya mengambil masa 1 hari berbanding 7 hari sebelum ini,” katanya.

Beliau turut berkongsi kisah kejayaan Rusdi Mamat, penerima Anugerah Nelayan Jaya HPPNK 2025 yang kini bergelar jutawan nelayan. Katanya, kejayaan Rusdi menjadi bukti bahawa dengan sokongan teknologi, bantuan kerajaan dan bimbingan LKIM, nelayan tempatan mampu mencipta kejayaan besar.

“Saya menyeru warga LKIM supaya terus bekerja keras melahirkan lebih ramai ‘jutawan nelayan’ seperti Saudara Rusdi. Potensi itu ada, dan mereka hanya menunggu sokongan serta bimbingan kita,” ujarnya.

Pada masa sama, Mohamad mengingatkan tentang cabaran besar yang menanti industri perikanan, antaranya isu kelestarian sumber laut, revolusi teknologi, serta ancaman aktiviti penangkapan ikan secara haram (IUU fishing). “Kita mempunyai amanah menjaga laut daripada pencemaran dan eksploitasi berlebihan. LKIM perlu memanfaatkan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) dalam pengurusan sumber yang lebih pintar, selain memperkukuh kerjasama strategik demi melindungi nelayan dan industri kita,” tegasnya.

Majlis diakhiri dengan ucapan tahniah kepada semua penerima APC yang diseru menjadikan pengiktirafan tersebut sebagai pemangkin untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang seiring visi Malaysia MADANI.
