LKIM raikan 102 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan 42 Penerima Anugerah Jasamu Dikenang 2025

FOTO BERITA: Majlis Anugerah Perkhidmatan (AP) dan Anugerah Jasamu Dikenang (JMDK) LKIM Tahun 2025 bersama YBhg. Tuan Haji Muhammad Faiz Fadzil Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Hadir sama Encik Hamdan Mamat Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di The Everly Putrajaya Hotel Putrajaya. 25hb September 2025 (Khamis)

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini meraikan seramai 102 orang kakitangan yang menerima Anugerah Perkhidmatan (AP) LKIM 2025 serta 42 penerima Anugerah Jasamu Dikenang dalam majlis penuh penghargaan dan pengiktirafan. Sejak ditubuhkan di bawah Akta 49, Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1971, LKIM terus komited memperkukuh peranan dalam memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan serta memajukan industri perikanan negara. Kini, agensi ini mempunyai 1,287 warga kerja yang terdiri daripada Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana.

102 Penerima Anugerah Perkhidmatan LKIM 2025
Anugerah Perkhidmatan diberikan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan luar biasa, prestasi cemerlang dan dedikasi warga kerja. Tahun ini, 102 kakitangan diraikan melibatkan 24 orang daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta 78 orang daripada Kumpulan Sokongan.

Mereka menerima Sijil Penghargaan, Plak serta Sijil Simpanan Premium (SSP-BSN) dengan pecahan seperti berikut, Anugerah Perdana (40 tahun) – RM1,500 (6 orang), Anugerah Platinum (35 tahun) – RM1,000 (11 orang), Anugerah Emas (30 tahun) – RM700 (24 orang), Anugerah Gangsa (20 tahun) – RM200 (26 orang) dan Anugerah Bakti (15 tahun) – RM100 (35 orang)

Selain itu, 42 penerima Anugerah Jasamu Dikenang turut diraikan yang terdiri daripada 37 pesara dan 5 orang gemulah (yang telah meninggal dunia). Mereka mewakili pelbagai peringkat perkhidmatan iaitu seorang daripada Kumpulan Pengurusan Tertinggi, seorang Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta 40 daripada Kumpulan Sokongan.

Setiap penerima menerima Sijil Simpanan Premium (SSP-BSN) bernilai RM600, Sijil Penghargaan serta Plak sebagai simbol penghormatan atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan kepada LKIM.

.
Dalam ucapannya, Tuan Haji Muhammad Faiz Fadzil menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga LKIM atas komitmen yang diberikan, serta mengajak mereka untuk terus mengekalkan budaya kerja cemerlang dalam usaha memperkukuh sektor perikanan negara dan meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi nelayan.

Majlis ini bukan sahaja menjadi wadah untuk memberi pengiktirafan, malah diharap dapat menyuntik semangat seluruh warga LKIM untuk terus berbakti, memperkukuh budaya kerja positif dan menyokong visi organisasi dalam memajukan sektor perikanan negara.

“LKIM sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan warga kerja serta menghargai jasa mereka yang telah lama berkhidmat. Dengan adanya anugerah seperti ini, ia menjadi dorongan berterusan untuk kita bersama-sama memperkukuh sektor perikanan negara selaras dengan agenda keterjaminan makanan,” katanya.

Majlis ini mencerminkan komitmen LKIM dalam memupuk semangat kecemerlangan, meningkatkan motivasi warga kerja serta menghargai jasa bakti yang ditinggalkan oleh pesara.


