SPRM sahkan tiada bukti Anwar miliki 20 akaun bank di luar negara
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa pihaknya tidak menjumpai sebarang bukti berhubung dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki 20 akaun bank luar negara termasuk di Israel.
SPRM berkata, pihaknya yang ketika itu adalah Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menjalankan siasatan lebih awal berhubung hal tersebut pada tahun 1999.
Malah, penjelasan mengenai hasil siasatan tersebut turut direkodkan dalam akuan bersumpah oleh bekas Pengarah Siasatan BPR, Datuk Abdul Razak Idris pada 2009.
“Siasatan terhadap dakwaan itu sudah dijalankan lebih awal oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1999.
“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang bukti atau keterangan yang mengaitkan Anwar dengan kesalahan jenayah rasuah atau salah guna kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
SPRM berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kandungan tular di aplikasi TikTok membabitkan isu berkenaan yang pernah dibangkitkan dalam sidang Parlimen pada 2013.
Walaupun dakwaan itu disebut di Parlimen pada 2013 kononnya memetik WikiLeaks, namun laman web berkenaan telah menafikan pernah menyenaraikan akaun bank milik Anwar seperti yang didakwa.
“Sebagai rekod, pihak WikiLeaks juga menafikan pernah menyiarkan sebarang senarai akaun bank milik Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti didakwa dalam sidang Parlimen berkenaan.
“Penafian itu turut dilaporkan dalam Harian Metro bertarikh 5 Oktober 2018 yang bertajuk ‘Dah 5 tahun baru Wikileak nafi’,” ujarnya.
SPRM mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat atau menjejaskan reputasi individu tanpa asas yang sahih.
Penyebaran maklumat tidak benar boleh menimbulkan kekeliruan serta mengganggu ketenteraman awam.
BACA JUGA Penjimatan RON95 sehingga RM4 bilion menyamai hasil 4 negeri Pas