Subsidi bersasar lindungi marhaen, orang kaya yang berkira memang tak suka
Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan bahawa pelaksanaan subsidi minyak bersasar dengan had 300 liter sebulan memadai untuk kegunaan rakyat marhaen biasa.
Beliau berkata, penggunaan minyak yang melebihi kadar tersebut biasanya berpunca daripada pergerakan yang menjana pendapatan lebih tinggi.
Justeru, ujarnya, golongan berkenaan wajar menanggung sendiri lebihan kos minyak tanpa lagi bergantung kepada subsidi kerajaan.
“Orang kampung yang hanya menggunakan motosikal untuk bergerak ke sana sini tentu sahaja tidak mencapai kuota 300 liter sebulan itu.
“Bilangan mereka sangat besar dan inilah kumpulan utama yang wajar dilindungi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mengulas pengalaman peribadinya, Khairuddin berkata, perjalanan tetap dari Bangi ke Kuala Terengganu yang dilakukan sejak 2008 menelan kos kira-kira RM240 bagi perjalanan pergi balik setiap minggu, atau sekitar RM1,000 sebulan.
Bagaimanapun, jelas bekas pemimpin Pas berkenaan, jumlah itu adalah penggunaan minyak kerana tuntutan kerja dan dakwah, berbeza dengan keperluan rakyat biasa.
“Jika penggunaan melebihi 300 liter, wajarlah tidak menerima subsidi kerana subsidi bersasar keutamaannya pada marhaen.
“Insyallah, subsidi bersasar ini menguntungkan rakyat marhaen yang tidak disukai oleh orang kaya yang berkira tetapi selama ini turut menikmati subsidi,” tempelak beliau lagi.
BACA JUGA Nasib Rafidah di hujung tanduk, Arisprop fail saman RM281,000