Israel ugut rampas kapal bantuan Gaza, aktivis enggan pulang akan ditahan
Israel merancang untuk memintas kapal-kapal yang menuju ke Gaza sebagai sebahagian daripada Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan ke enklaf Palestin, menurut media Israel, Channel 12 semalam.
Sebanyak 45 kapal, yang kini berada di perairan Greece, dijangka memasuki wilayah Gaza dalam beberapa hari akan datang.
Menurut The Jerusalem Post, pada fasa pertama, anggota unit Shayetet 13 dilaporkan akan mengambil alih kapal-kapal tersebut.
Menurut laporan itu lagi, mereka yang enggan menaiki kapal dan pulang secara sukarela akan ditangkap.
Sementara itu, Flotila Sumud Global hari ini mengumumkan sedang bersiap sedia untuk berlayar dari pesisir Pulau Crete, Greece, bagi peringkat terakhir perjalanan menuju ke Gaza.
Lapor Anadolu Ajansi, flotila itu mengakui mengalami ‘halangan besar’ selepas sebuah kapal utamanya mengalami kerosakan mekanikal.
Wartawan Al Jazeera Hassan Masoud, yang turut berada dalam misi itu melaporkan yang enam lagi kapal dari Greece dijangka menyertai flotila dalam pelayaran ke Gaza.
Pelayaran GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat.
Semua 34 sukarelawan Malaysia berada di bawah panji Sumud Nusantara, diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
BACA JUGA Ramai terkejut suami curang di klinik kesihatan sebut ‘ayaq’, ‘fai’