Daripada 25 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, PM umum kerusi bakal ditambah
Perdana Menteri mengumumkan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak yang pada masa ini mewakili 25 peratus daripada 222 kerusi akan ditambah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini, perkara berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jelasnya, kedua-dua negeri di Borneo itu memohon pertimbangan supaya bilangan kerusi Parlimen ditambah.

“Buat kali pertama sejak 1963, Anwar yang sekarang menjadi Perdana Menteri mengumumkan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak akan ditambah,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada program Himpunan dan Temu Rapat Umum Sempena 27 Tahun Reformasi, di Merotai, Tawau, Sabah malam tadi.

Untuk rekod, Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai 25 dan 31 kerusi Parlimen dengan jumlah keseluruhan 56 kerusi di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, wujud cadangan meminda jumlah kerusi Parlimen untuk memenuhi kuota satu pertiga atau 35 peratus mewakili Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor berkata, rundingan bagi meminda kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu dibuat secara bersemuka khususnya dengan setiap Ahli Parlimen di Semenanjung.
Fadillah berkata, ini kerana ketika ini Ahli Parlimen Semenanjung sudah mewakili 75 peratus daripada 222 kerusi.
Jika pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat ingin dilakukan, jelasnya, tiada keperluan untuk merujuk Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak kerana mereka sahaja sudah lebih dua pertiga kerusi.
BACA JUGA Wanita berang suami curang di klinik padam video, rehat sekejap tapi ada ‘part 5’