Pasar Tani pertama bermula di Wisma Tani, cetus inspirasi kesejahteraan petani

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani Yang Ke-40 Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Pasar Tani Putrajaya bersama YAB Dato’Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan YB Datuk Seri Mohamad Sabu di Pasar Tani Putrajaya Presint 4, Putrajaya. 26hb September 2025 (Jumaat)

Idea penubuhan pasar tani yang kini menjadi sebahagian daripada nadi pemasaran hasil tani negara bermula dengan usaha kecil di Wisma Tani, kira-kira beberapa dekad lalu.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pasar tani pertama ketika itu bermula dengan hanya 500 kakitangan awam di Wisma Tani yang menjadi pelanggan awal.

“Saya kata siapa nak beli, turunlah. Gerai dibuka bermula jam 3 hingga 6 petang, beli apa yang ada di situ. Alhamdulillah, saya ingat pada hari pertama itu habis dijual,” katanya.

Beliau menjelaskan, pada peringkat awal, kos pengangkutan ditanggung oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), manakala kemudahan tempat pula disediakan oleh Wisma Tani.

“Para pembeli pula terdiri daripada pegawai-pegawai di Kementerian Pertanian. Saya sempat bergurau, saya kata kalau tak habis, KSU dan KPP kena beli sampai selesai. Jadi itulah permulaannya,” ujar beliau sambil mengimbau kenangan.

Anwar yang juga dikenali sebagai seorang pemimpin yang komited memperjuangkan nasib petani dan pesawah sejak awal penglibatannya dalam arena politik.

Komitmen itu, jelasnya, terus diteruskan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI hari ini dengan agenda kesejahteraan pesawah dan petani sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira perbezaan politik, selaras dengan prinsip MADANI.