300,000 anggota tentera, polis mula nikmati BUDI95 hari ini
Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mula dilaksanakan tengah malam tadi dengan kumpulan pertama membabitkan kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis.
Golongan berkenaan menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter.
Anggota tentera dan polis antara 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang menikmati subsidi bersasar petrol RON95 yang diberi secara berperingkat kepada rakyat.
Esok, lima juta golongan B40 atau penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang mempunyai lesen memandu aktif layak menikmati manfaat BUDI95.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September lalu berkata, penjimatan daripada peralihan kepada BUDI95 ini akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Namun, tumpuan kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan prasarana asas,” kata beliau.
Setiap rakyat Malaysia yang layak, katanya, akan menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan.
Sementara itu, pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan terbabit dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.
Bagi golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan RM2.60 seliter.

BACA JUGA Daripada 25 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, PM umum kerusi bakal ditambah