Pasar Tani kini melangkah ke fasa transformasi digital melalui sistem transaksi tanpa tunai, kod QR, e-billing serta pengurusan i-Pemasar 2.0. – Mohamad Sabu

FOTO BERITA: Pasar tani yang kini menjadi nadi pemasaran hasil segar negara melangkah ke usia 40 tahun sejak mula diperkenalkan pada 1985, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu.

Berucap pada Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani Ke-40 Peringkat Kebangsaan di Presint 4, Putrajaya hari ini, beliau berkata pasar tani bermula dengan hanya beberapa gerai kecil di Wisma Tani, namun kini berkembang dengan lebih 700 lokasi di seluruh negara.

“Pasar tani bukan sekadar ruang jual beli, tetapi telah menjadi ekosistem penting yang menjamin akses rakyat kepada bekalan segar, berkualiti dan berpatutan. Pada masa yang sama, ia memberi pasaran yang lebih adil kepada petani tanpa terlalu bergantung kepada orang tengah,” katanya.

Mohamad turut menekankan kejayaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang berjaya memposisikan pasar tani sebagai institusi pemasaran berdaya tahan sejak empat dekad lalu, malah melahirkan ramai usahawan tani yang kini lebih berdaya saing dengan kemajuan teknologi dan e-dagang.

Beliau berkata, di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, pasar tani akan terus diperkasa melalui pendigitalan, sistem pembayaran tanpa tunai serta penjenamaan semula agar kekal relevan dengan kehendak rakyat.

“Agenda keterjaminan makanan akan terus menjadi keutamaan kerajaan. Saya menyeru semua usahawan tani agar memanfaatkan platform pasar tani sebagai medan memperkukuh ekonomi keluarga dan komuniti,” ujarnya.
