Kerajaan MADANI percepat projek kediaman tentera, jamin kebajikan warga ATM
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menjadi keutamaan, termasuk melalui penyediaan kemudahan perumahan yang lebih baik.
Perdana Menteri berkata, kerajaan kini mempergiat usaha mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur, termasuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan pembinaan jeti baharu di Pangkalan TLDM Sandakan.

“Kerajaan tidak akan sekali-kali mengabaikan kebajikan anggota. Usaha dipergiat untuk memastikan keselesaan serta kesejahteraan anggota dan keluarga mereka,” katanya hari ini menerusi hantaran di Facebook mengulangi ucapannya ketika menyantuni warga ATM di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan.
Dalam masa sama, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada pegawai dan anggota ATM yang disifatkannya sebagai benteng utama mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

Beliau menegaskan, selain peningkatan aset dan teknologi pertahanan, kebajikan anggota dan integriti pengurusan kewangan pertahanan juga merupakan faktor penting dalam memperkukuh kekuatan negara.
“Saya nasihatkan agar setiap perbelanjaan dilakukan dengan penuh telus, berhemah dan bebas daripada ketirisan.

“Kekuatan pertahanan negara bukan hanya terletak pada aset dan anggota, tetapi turut bergantung pada integriti pengurusan,” ujarnya.
Anwar juga menyeru warga ATM untuk memperkukuh penguasaan teknologi baharu dan memperluas kerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi anggota dan keluarga.
BACA JUGA Pas sembang perpaduan Melayu Islam tapi berdegil tolak idea Kerajaan Perpaduan