FAMA-Grab perkasa digitalisasi Pasar Tani, lebih 300 usahawan sertai platform atas talian

FOTO BERITA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meneruskan agenda transformasi digital Pasar Tani melalui kerjasama strategik dengan Grab Malaysia bagi memperluaskan akses pasaran produk pertanian segar dan industri asas tani.

Inisiatif ini melibatkan lebih 300 usahawan di 30 Pasar Tani dan Pasar Tani Kekal di Kuala Lumpur, Selangor, Johor serta Putrajaya, yang kini boleh diakses secara atas talian melalui platform GrabMart dan GrabFood.

Kerjasama ini membolehkan pengguna mendapatkan buah-buahan, sayur-sayuran, barangan runcit serta makanan dan minuman daripada usahawan Pasar Tani dengan lebih mudah, manakala usahawan pula berpeluang meluaskan capaian pelanggan melangkaui tapak fizikal, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

Ketua Pengarah FAMA, YBrs. Encik Abdul Rashid Bahri, menegaskan komitmen untuk memperkukuh saluran pemasaran hasil pertanian melalui pendekatan moden. “Dengan menggabungkan penghantaran atas permintaan, FAMA berhasrat meningkatkan nilai ekonomi usahawan serta menarik lebih ramai peserta baharu dalam sektor pemasaran hasil tani,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia, Tan Jiong Jian, berkata di bawah etos #GrabBersamaMalaysia, syarikat itu memanfaatkan teknologi untuk memacu perubahan bermakna dalam komuniti. “Kerjasama ini membantu perniagaan tempatan berkembang dengan meningkatkan keterlihatan dan potensi ekonomi, selain memudahkan pembelian untuk pengguna,” jelasnya.

Kerjasama ini turut diperkukuh melalui Pasar Incubator Project di Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Johor Bahru, yang memberi latihan GrabMasterclass, bimbingan serta penggunaan optimum GrabMerchant kepada usahawan.

Sehingga Ogos 2025, kerjasama FAMA-Grab telah mencatat nilai jualan terkumpul hampir RM2 juta dengan lebih 21,000 transaksi, membabitkan lebih 300 usahawan.

FAMA yakin kerjasama ini akan terus berkembang sebagai pemangkin penting dalam menjadikan Pasar Tani sebuah hab pemasaran moden yang inklusif, relevan dan berdaya saing. Turut hadir dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman, Tuan Hj. Aminuddin Zulkipli (kiri) Pengerusi FAMA