Industri nanas bakal diperkukuhkan lagi dengan sulur tempatan baharu

Industri nanas bakal diperkukuhkan lagi dengan penghasilan sulur SG1 di Sarawak, dedah pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Sulur ialah benih nanas dan SG1 sedang diusahakan oleh pemilik ladang nanas SG1 di Sungai Tukau, Miri – Dato’ Yap Foot Loy yang menerajui Ning Planters.

“Untuk fasa pertama, LPNM menjangkakan kemasukan sebanyak satu juta sulur SG1 ke Semenanjung secara berperingkat-peringkat. Peningkatan kapasiti benih ini akan mempercepatkan proses penanaman dan memperkukuh rantaian bekalan.

“Ning Planters kini sedang memberi tumpuan kepada penghasilan sulur atau benih nanas SG1. Usaha ini selari dengan matlamat LPNM yang mensasarkan perluasan tanaman varieti baharu SG1 di seluruh negara menjelang 2026.”

“Ladang nanas Ning Planters ini juga sedang menjalankan proses simulasi eksport buah nanas SG1 yang merangkumi prosedur operasi standard (SOP) dari peringkat pemilihan, rawatan sehingga penyimpanan. Langkah ini dijangka membuka jalan kepada percubaan eksport mereka ke luar negara.

“Selain itu, Ning Planters juga sedang membina sebuah kilang pemprosesan nanas dalam kawasan ladang yang sama. Struktur bangunan kini siap sekitar 60%, dengan keluasan mencecah 97,000 kaki persegi.

“Pembinaan kilang ini amat penting kerana halatuju nanas varieti SG1 bukan sahaja tertumpu kepada pasaran buah segar, tetapi turut menekankan segmentasi pemprosesan.

“Dengan jangkaan mula beroperasi tahun hadapan, ia bakal menjadi kilang nanas terbesar di Malaysia sekaligus mengukuhkan ekosistem pemprosesan hiliran nanas tempatan.

BACA JUGA: Nasib Rafidah di hujung tanduk, Arisprop fail saman RM281,000