Mat rempit isi minyak RON97 sebagai protes syarat tunjuk IC
Seorang penunggang motosikal mendakwa mereka sebagai golongan ‘mat rempit’ bukan sengkek seperti tanggapan ramai sehingga tidak mampu mengisi petrol tidak bersubsidi.
Dalam satu perkongsian tular, seorang penunggang motosikal mengisi minyak RON97 sebagai protes syarat kerajaan yang mewajibkan rakyat Malaysia mempamerkan kad pengenalan.
Perkongsian itu bagi menunjukkan walaupun tanpa kad pengenalan, mereka masih mampu menggunakan bahan bakar yang tidak disubsidi kerajaan.
“Kami mat rempit bukan sengkek. Tak payah beria syarat macam-macam nak tunjuk IC bagai pun kita orang boleh isi,” tulisnya.
Bagaimanapun lain pula yang diperdebatkan ramai apabila pengguna media sosial mengesan perkara pelik dalam gambar itu.
Ia kerana paparan skrin pam minyak tertera harga petrol yang dibeli dan jumlah liter minyak iaitu RM3 untuk 1.463 liter minyak yang terisi.
Netizen lantas membuat kira-kira, mendakwa penunggang motosikal berkenaan yang digelar mat rempit itu sebenarnya mengisi RON95 dan bukan RON97.
Mereka mendakwa, untuk mendapatkan 1.463 liter minyak, sepatutnya bayaran dikenakan adalah RM4.69 memandangkan harga semasa RON97 kini adalah RM3.21 per liter.
“Kalau ikut paparan skrin, sebenarnya dia beli minyak RON95 RM3 dan dapat 1.463 liter.
“Kalau dia beli RON97, dia perlu bayar RM4.69 untuk 1.463L, bukannya RM3 (seperti yang terpapar di skrin pam minyak tu),” komen seorang pengguna media sosial di aplikasi Thread.