‘Hebat’ bacaan Qunut Nazilah MP Jasin, PN terpalit penangan video songsang

Heboh apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaitkan Datuk Seri Azmin Ali dengan video songsang di Sandakan, Sabah yang pernah tular sebelum ini.

Rata-rata secara sinis menganggap bacaan Qunut Nazilah oleh sebahagian wakil rakyat pembangkang yang dipimpin Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail di Dewan Rakyat pada 18 Julai tahun lalu sudah berkesan.

Pemimpin Pas Melaka itu juga bermodalkan Qunut Nazilah di Parlimen pada 5 Ogos lalu dalam ungkapan yang kononnya pantun dengan antara lain menyebut, “aduan rakyat kepada Allah telah diangkat” dan “pemimpin zalim tidak akan terlepas”.

Semalam, Wan Saiful berkata, beliau menerima maklumat baharu yang mendakwa siasatan forensik terhadap video membabitkan Azmin di Sandakan itu sebagai tulen.

Susulan itu, beliau menegaskan bahawa Azmin tidak sesuai untuk menjadi pemimpin Bersatu walaupun semasa perhimpunan parti tersebut sebelum ini menerima pelantikan Azmin sebagai Setiausaha Agung Bersatu.

Wan Saiful menegaskan pendirian yang menggemparkan itu semalam pada sidang media mengenai dakwaan cubaan menjatuhkan Presiden Bersatu menerusi akuan bersumpah (SD).

Pada 2019, tular beberapa siri video seks di media sosial membabitkan dua lelaki diikuti pengakuan oleh Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku sebagai seorang daripada lelaki dalam rakaman aksi songsang itu.

Haziq yang juga bekas Ketua Pemuda PKR Santubong mendakwa bahawa orang lain yang bersama dalam video berkenaan adalah Azmin Ali.

Ekoran itu, Haziq ditahan reman bersama beberapa individu lain bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Azmin pula pada masa itu menafikan pembabitannya dalam video intim sejenis tersebut dan menganggapnya sebagai tuduhan jahat serta kejam.

BACA JUGA Konflik Bersatu, polemik sudah dijangka