Jelajah Ceria Selangor kukuhkan kehidupan bermasyarakat di Sabak Bernam

FOTO BERITA: Program Jelajah Ceria Selangor Sabak Bernam bersama YB Puan Anfaal binti Saari, selaku EXCO Pembangunan Wanita Dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor di Dewan Bagan Terap, Sungai Besar Selangor. 30hb September 2025. (Gambar: Pejabat EXCO)

Kerajaan Negeri Selangor komited memperkukuh kebahagiaan keluarga serta budaya bermasyarakat melalui Program Jelajah Ceria Selangor, demikian ditegaskan oleh EXCO Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari, ketika merasmikan program berkenaan di Daerah Sabak Bernam hari ini.

Menurut beliau, Selangor yang menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dengan lebih 26.1 peratus daripada KDNK Malaysia, tidak boleh hanya mengejar pembangunan fizikal semata-mata. Sebaliknya, kesejahteraan rakyat mesti turut diukur melalui kebahagiaan, hubungan kekeluargaan yang kukuh, dan ikatan silaturrahim sesama masyarakat.

“Jelajah Ceria Selangor diwujudkan kerana kita mahu memastikan kemajuan negeri ini tidak dibayar dengan hilangnya kasih sayang dalam keluarga atau pudarnya budaya gotong-royong di kalangan masyarakat. Kita mahu rakyat Selangor terus bahagia dalam arus kemodenan,” katanya.

Anfaal menegaskan, konsep pembangunan Madani yang turut diketengahkan dalam dasar negeri memberi penekanan bahawa kemajuan sebenar bukan hanya bangunan tinggi dan ekonomi mewah, tetapi kesejahteraan insan di dalamnya.

Beliau turut mengingatkan tentang pentingnya menghidupkan kembali budaya bermasyarakat di kawasan bandar yang semakin terhakis akibat gaya hidup individualistik.

“Kita sering mendengar kes warga emas meninggal dunia sendirian tanpa disedari. Ini menunjukkan bahawa tanggungjawab menjaga bukan sahaja pada kerajaan, tetapi perlu dipikul bersama oleh keluarga, jiran tetangga dan masyarakat setempat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor 2024–2030 yang menekankan penjagaan sebagai tanggungjawab bersama antara kerajaan, swasta, keluarga dan masyarakat.

Program Jelajah Ceria Selangor di Sabak Bernam hari ini turut dimeriahkan dengan kayuhan santai, aktiviti rewang, serta pameran pelbagai inisiatif kerajaan negeri dan persekutuan. Anfaal turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Wanita Berdaya Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, serta Penyelaras DUN Sabak, Cikgu Samad bersama pasukan beliau yang bertungkus lumus menjayakan program ini.

“Semoga usaha kita bersama ini memperkukuh institusi keluarga, menghidupkan budaya bermasyarakat, dan menyemai kasih sayang sesama insan di bumi Selangor,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.