Pergolakan dalam Bersatu: MPT, Lembaga Disiplin ambil tindakan segera, kata Bersatu Perak

Pimpinan Bersatu Perak yang diketuai oleh Datuk Ahmad Faizal Azumu mahu Majlis Pimpinan Tertinggi dan Lembaga Disiplin mengambil tindakan segera terhadap mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dasar parti.

“Kami menggesa Majlis Pimpinan Tertinggi serta Lembaga Disiplin Parti supaya mengambil tindakan segera terhadap mana-mana ahli, termasuk Datuk Wan Saiful Wan Jan yang telah mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan dasar parti.

“Langkah tegas ini penting bagi mengelakkan gejala tidak berdisiplin terus berulang dan menular dalam parti,” kata Ahmad Faizal dalam satu kenyataan yang turut disokong oleh 14 ketua bahagian dan seorang timbalan ketua bahagian.

Ini ekoran daripada kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan terhadap setiausaha agung Datuk Seri Azmin Ali.

“Kenyataan tersebut bukan sahaja mengelirukan, malah telah menjejaskan nama baik dan imej parti di mata rakyat. Ia langsung tidak mencerminkan disiplin dan adab berorganisasi yang menjadi tunjang dan kekuatan kepada Bersatu sejak awal penubuhannya.

“Kami ingin menegaskan bahawa parti mempunyai saluran rasmi untuk menyuarakan pandangan dan menyelesaikan perbezaan pendapat.

“Tindakan mengeluarkan kenyataan terbuka dengan nada mencabar kepimpinan parti adalah perbuatan yang tidak wajar malah hanya membuka ruang fitnah serta mengundang keraguan terhadap kesatuan saf perjuangan Bersatu,” tambahnya lagi.

BACA JUGA: Bersatu terus berantakan, Wan Saiful dianggap beri peluru kepada pihak lawan