Majikan arah pekerja guna IC sendiri untuk urusan syarikat, minta kuota keluarga
Perkongsian seorang individu mengenai majikannya yang mengarahkan para pekerja menggunakan subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi urusan kerja mencetuskan perbincangan hangat.
Dalam satu perkongsian tular, individu tersebut memuat naik tangkap layar berupa arahan dari majikannya.
Dalam perbualan itu, majikannya berkata bermula 30 September, semua pekerja iaitu pemandu perlu mengisi minyak menggunakan subsidi yang diberi kerajaan.
Lebih buruk, syarikatnya membuat arahan supaya menggunakan kuota keluarga jika minyak subsidi sudah habis diguna.
“Mula 30 September semua pemandu wajib guna kad pengenalan isi minyak. Jika habis kuota cuba dapatkan kad pengenalan ahli keluarga. Tolong jimat penggunaan minyak,” tulis majikannya dalam perbualan WhatsApp.
Berikutan itu pekerja tersebut bertanya kepada orang ramai adakah wajar untuk majikannya menggunakan hak mereka sebagai pekerja.
“Macam mana pula kalau majikan nak gunakan hak kita ini buat pakai untuk kereta hari-hari hantar orang? Ada cadangan?,” tulis lelaki itu.
Seperti dijangka, pengguna media sosial membantah tindakan majikannya, menasihatkan lelaki berkenaan supaya tidak bermudah-mudah menyerahkan haknya kepada pihak syarikat.
Mereka berpendapat, syarikat sepatutnya memohon ‘fleet card’ dan bukannya menggunakan hak pekerja.
“Salah syarikat buat macam tu. Boleh buat laporan. Suruh syarikat daftar dalam SKPS dan memohon Fleet Card dari syarikat minyak yang mana majikan nak,” cadang seorang pengguna.
BACA JUGA Pergolakan dalam Bersatu: MPT, Lembaga Disiplin ambil tindakan segera, kata Bersatu Perak