YWP terus prihatin: RM37,000 disalurkan kepada penerima Manfaat Skim Bantuan Kumpulan 8 Tahun 2025

FOTO BERITA: Majlis Penyerahan Bantuan Awal IPTA/IPTS & Skim Prihatin, satu inisiatif CSR oleh En. Zahrulail Abdul Rahman, Pengurus Kanan Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif di WISMA YWP, Jalan Raja Abdullah, Kampung Bharu, Kuala Lumpur. 1hb Oktober 2025 (Rabu)

Menurut En. Zahrulail Abdul Rahman, Pengurus Kanan Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), meneruskan komitmen membantu masyarakat melalui Majlis Penyerahan Bantuan Skim Bantuan Awal IPTA/IPTS, Skim Khairat Kematian dan Skim Bantuan Khas (Perubatan) bagi Kumpulan 8 Tahun 2025.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan YWP dalam menyalurkan bantuan kewangan secara one-off kepada keluarga yang memerlukan di Wilayah Persekutuan, dengan jumlah keseluruhan bernilai RM37,000.

Bagi Kumpulan 8 Tahun 2025, penerima manfaat terdiri daripada, 50 orang pelajar menerima Skim Bantuan Awal IPTA/IPTS bernilai RM700 seorang. 13 orang penerima menerima Skim Bantuan Khas (Perubatan) bernilai RM500 seorang dan 1 penerima menerima Skim Khairat Kematian bernilai RM1,000 seorang.

Menurut En. Zahrulail, skim bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan isi rumah, malah turut memberi peluang kepada anak-anak muda untuk melanjutkan pengajian tinggi tanpa terbeban dengan kekangan kewangan.

“Pendidikan adalah kunci untuk mengubah kehidupan. Melalui skim bantuan awal ini, YWP berharap pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dapat memulakan pengajian di universiti dengan lebih yakin,” kata nya

Selain itu, Skim Bantuan Khas (Perubatan) pula diwujudkan untuk meringankan beban keluarga yang berdepan masalah kesihatan, manakala Skim Khairat Kematian menjadi simbol keprihatinan YWP terhadap keluarga yang kehilangan insan tersayang.

Inisiatif-inisiatif ini, adalah bukti nyata komitmen yayasan dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat serta memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada menerima manfaat pembangunan di Wilayah Persekutuan.

En. Zahrulail turut menyeru agar penerima manfaat menggunakan bantuan tersebut sebaik-baiknya untuk tujuan yang bermanfaat, terutama bagi pelajar yang sedang melanjutkan pengajian agar menjadikan ilmu sebagai senjata utama mengubah nasib keluarga dan memberi sumbangan kepada negara.