MHO serah surat ke JSJK mohon perkembangan siasatan kes pelaburan Forex rugi RM104 Juta

FOTO BERITA: Sidang Media Khas oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bongkar masterminds dalam skim penipuan pelaburan kerugian 104,961,610.07 dengan 386 pengadu di JSJK Bukit Aman, Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 1hb Oktober 2025 Rabu. (Gambar: MHO)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menyerahkan surat rasmi kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bagi memohon perkembangan terkini siasatan kes penipuan membabitkan sebuah program pelaburan forex yang dilaporkan sejak tahun lalu.

Penyerahan dokumen tersebut diketuai oleh Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim bersama sebahagian mangsa yang terlibat. Turut diserahkan senarai nama individu yang bersedia tampil menjadi saksi bagi membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan.

Menurut MHO, sehingga kini sebanyak 386 mangsa telah tampil membuat aduan dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM104.96 juta. Mangsa mendakwa mereka diperdaya oleh dua individu – seorang warganegara Malaysia dan seorang lagi warganegara Indonesia – yang menjadi dalang utama program pelaburan berkenaan.

“Pelbagai muslihat digunakan oleh sindiket ini untuk memperdaya mangsa, termasuk melibatkan pihak ketiga bagi mengelirukan siasatan pihak berkuasa. Justeru, kami berharap PDRM dapat menjalankan siasatan yang teliti, menyeluruh dan adil demi membela nasib mangsa,” kata Dato’ Hishamuddin.

Tambah beliau, dokumen tambahan serta bukti baharu juga telah diserahkan kepada pihak polis hari ini bagi membantu melengkapkan siasatan. MHO turut merakamkan penghargaan kepada individu yang mempunyai kaitan rapat dengan suspek utama kerana tampil memberi kerjasama sebagai saksi.

MHO menegaskan bahawa pihaknya akan terus mengiringi dan membantu mangsa sehingga dalang utama dibawa ke muka pengadilan. “Mangsa-mangsa percaya PDRM memiliki kewibawaan untuk menyelesaikan kes ini, sekali gus memulihkan keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan dan penguatkuasaan undang-undang negara,” jelasnya lagi.

MHO yang ditubuhkan sejak tahun 2016 komited memperjuangkan hak asasi manusia serta memberi bantuan kemanusiaan dan khidmat guaman, termasuk dalam kes penipuan kewangan yang menjejaskan orang awam.