Kerajaan berusaha giat hubungi pelbagai pihak demi pembebasan aktivis Malaysia
Perdana Menteri memuat naik kemaskini terbaru di Facebook, di mana pihaknya dan pasukan sedang berusaha giat berhubung dengan pihak berkepentingan termasuk saluran diplomatik dalam usaha memastikan sukarelawan dan aktivis Malaysia, ASEAN dan antarabangsa dibebaskan dengan segera.
Dalam kemaskini itu, difahamkan Perdana Menteri telah membuat beberapa panggilan termasuk kepada Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sany Araby untuk mengetahui jumlah sebenar rakyat Malaysia yang ditahan dan masih selamat.
“Kepada ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan, semoga terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ini.
“Perkembangan setiap proses menuju pembebasan akan dimaklumkan dari masa ke masa,” ujarnya
Setakat jam 10 pagi, 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) disahkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza.
Menerusi paparan skrin perkembangan kapal delegasi Malaysia di SNCC, mereka termasuk Musa Nuwayri, Ilya Balqis dan Sul Aidil yang berada di kapal Alma, serta Zizi Kirana di kapal Huga.
Selain itu, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi berada di kapal Sirius, manakala, Danish, Farah Lee di kapal Grande Blu serta penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio.
Lima lagi dilaporkan terputus hubungan antaranya pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman yang berada di kapal Estrella serta Ardell yang menaiki kapal Mikeno.
BACA JUGA AMANAH kecam kebiadaban Israel, desak aktivis dibebaskan segera