Rakyat Malaysia gerakkan himpunan Sumud Flotilla petang ini
Berikutan insiden kapal-kapal Global Sumud Flotilla yang membawa bekalan kemanusiaan ke Gaza ditawan oleh rejim Israel, rakyat Malaysia bakal berhimpun bagi menyatakan solidariti dan bantahan terhadap tindakan tersebut.
Himpunan yang dinamakan “Himpunan Sumud Flotilla” itu dijadualkan berlangsung pada petang ini, jam 4 petang di hadapan The Linc, Kuala Lumpur.
Penganjur menetapkan beberapa syarat kepada peserta termasuk berpakaian sopan dengan tema Palestin, membawa bendera atau sepanduk yang sesuai, menjaga disiplin tanpa menimbulkan provokasi, serta mematuhi arahan koordinator sepanjang himpunan berlangsung
Menurut laporan, setakat ini 12 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera Israel selepas rejim Zionis itu memintas kapal mereka.
Mesej SOS kecemasan bagi semua 12 sukarelawan berkenaan disiarkan di media sosial Sumud Nusantara, menandakan mereka dalam tahanan Israel.
Rakyat Malaysia ditahan adalah Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli daripada kapal Sirius.
Selain itu, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi daripada kapal Hio, Iylia Balqis, Ahmad Musa Al-Nuwayri dan dan Sul Aidil dari kapal Alma.
SNCC memaklumkan setakat ini, sepuluh kapal berada pada status `diserang’ manakala 13 kapal lagi menghantar isyarat `kecemasan’.
BACA JUGA Kerajaan berusaha giat hubungi pelbagai pihak demi pembebasan aktivis Malaysia