Rasuah Lebuhraya MEX II: Dua orang didenda RM100,000

Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk dan seorang pengusaha ladang telah didenda RM100,000 oleh mahkamah sesyen Kuala Lumpur ekoran kegagalan mereka melaporkan penerimaan RM4 juta sebagai rasuah berhubung projek Lebuhraya MEX II lapan tahun lalu.

Hukuman tersebut dikenakan ke atas Lim Kim Hai, 50 dan Ang Teck Ann, 52 setelah mereka mengaku bersalah.

Lim dituduh menerima RM3.5 juta tunai daripada bekas pengarah MEX II Sdn Bhd Yap Wee Leong sebagai hadiah mendapatkan tiga sub kontraktor iaitu Villas Hub Sdn Bhd, Jade Centennial Sdn Bhd dan Bidang Bakat Sdn Bhd untuk Golden Base Construction Sdn Bhd.

Ang pula dituduh menerima RM500,000 sebagai bayaran kerana menjadi pemudah cara di antara Lim dan seorang lagi individu untuk mendapatkan syarikat – syarikat sub kontraktor tersebut.

Kesalahan tersebut dilakukan di KH Lim COrporate Consultancy Sdn Bhd di Mid Valley City di antara bulan Jun 2017 dan Jun 2018.

Mereka berdua didakwa di bawah seksyen 25(1) Akta SPRM yang membenarkan hukuman denda maksimum RM100,000, penjara 10 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

BACA JUGA: Skandal lebuhraya MEX II: Tiga didakwa pagi ini