Umat Islam Malaysia solat hajat, baca Yasin untuk peserta Sumud Flotilla

Masjid dan surau seluruh negara mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bagi memohon kepada Allah agar memberikan keselamatan kepada peserta Sumud Flotilla yang sedang dalam perjalanan ke Gaza bagi menyampaikan bantuan.

Esok pula mereka akan mengadakan solat Jumaat dengan khutbah khas tentang perjuangan umat Palestin membebaskan negara mereka dari kekejaman Israel.

Arahan untuk mengadakan solat hajat dan khutbah khas ini dikeluarkan oleh Menteri Agama Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.

“Saya mengesyorkan kepada semua masjid dan surau Jumaat di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri turut mengambil langkah yang sama.

“Ayuh kita semua mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada pasukan Global Sumud Flotilla khususnya untuk rakyat Malaysia yang terlibat selain mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di Rawang, hampir 100 jamaah berkumpul di Surau Siddiqin. Mereka menunaikan solat hajat selepas solat Maghrib dan membaca surah Yasin selepas itu.

Menurut laporan, setakat ini 17 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera Israel selepas rejim Zionis itu memintas kapal mereka.

Mesej SOS kecemasan bagi semua 12 sukarelawan berkenaan disiarkan di media sosial Sumud Nusantara, menandakan mereka dalam tahanan Israel.

Rakyat Malaysia ditahan adalah Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli daripada kapal Sirius.

Selain itu, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi daripada kapal Hio, Iylia Balqis, Ahmad Musa Al-Nuwayri dan dan Sul Aidil dari kapal Alma.

SNCC memaklumkan setakat ini, 10 kapal berada pada status diserang’ manakala 13 kapal lagi menghantar isyaratkecemasan’.