Dituduh mahu hapus rizab Melayu, pengurusan kes terhadap Rafidah 29 Oktober ini

Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad hari ini mengesahkan telah memfailkan saman terhadap Rafidah Ibrahim yang menyebarkan tuduhan palsu kononnya beliau mahu menghapuskan rizab Melayu.

Beliau menuntut pembuktian daripada penyokong pembangkang berkenaan susulan dakwaan berhubung isu Kampung Sungai Baru.

“Saya saman dia kerana mendakwa saya nak hapuskan rizab Melayu.

“Sekarang kita mahu lihat apakah bukti yang dia ada untuk menyokong tuduhan itu,” tegasnya pada sidang media di Restoran Line Clear, Kampung Baru, hari ini.

Khalid berkata, beliau yakin kes tersebut akan dibicarakan, sekali gus membuktikan dakwaan Rafidah hanyalah cubaan meraih perhatian di media sosial.

“Dia buat dakwaan sensasi hanya untuk dapatkan ‘viewers’ di aplikasi TikTok.

“Sekarang biarlah mahkamah tentukan dan kita akan buktikan kepada dunia bahawa dia berbohong,” ujarnya.

Pengarah Komunikasi AMANAH itu turut mengesahkan mahkamah telah menetapkan tarikh pengurusan kes saman fitnahnya terhadap personaliti berkenaan pada 29 Oktober ini.

Menurut bekas Menteri Wilayah itu, pada 29 Ogos lalu, pihaknya hampir mendapat penghakiman terus kerana Rafidah tidak hadir ke mahkamah.

Walaupun begitu, katanya, Rafidah pada saat akhir hadir bersama peguam dan memohon diberi peluang membela diri.

Jelasnya, mahkamah kemudian mengarahkan pihak Rafidah memfailkan pembelaan selewat-lewatnya 13 Oktober manakala jawapan Khalid perlu dikemukakan pada atau sebelum 28 Oktober depan.

Sebelum ini, dilaporkan Khalid sebagai plaintif dalam kes saman itu mendakwa Rafidah memfitnahnya cuba memansuhkan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (M.A.S) Kampung Baru dan secara langsung akan menghapuskan tanah rizab Melayu di seluruh Kampung Baru, bukan sahaja di Kampung Sungai Baru.

Dalam tuntutan saman itu, Khalid menegaskan bahawa tuduhan beliau berhasrat menghilangkan tanah rizab Melayu di Kampung Baru adalah sangat berat dan mengundang komen negatif pengguna TikTok yang menghina, membenci, mencaci, serta bersifat tidak benar dan fitnah terhadap diri beliau.

Tambah Khalid, pernyataan Rafidah dalam video menerusi akaun TikTok pada 14 April lalu, adalah secara jelas tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah serta memburuk-burukkan beliau.

BACA JUGA Rasuah Lebuhraya MEX II: Dua orang didenda RM100,000