KPDN perkukuh industri fesyen tempatan melalui My Gaya Month 2025

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 bersama MBDA Sempena ‘MY GAYA MONTH’ oleh YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Function Room, Aras 5, Pavillion Bukit Jalil, Kuala Lumpur. 2hb Oktober 2025 Khamis. (Gambar: UKK KPDN)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuh daya saing industri tempatan dengan menganjurkan My Gaya Month 2025 (MGM2025) sepanjang bulan Oktober ini di Pavilion Bukit Jalil.

Program anjuran bersama Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) itu merupakan sebahagian daripada agenda Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025, dengan memberi tumpuan khusus kepada segmen fesyen dan gaya hidup.

Sepanjang MGM2025, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai aktiviti termasuk reruai jualan, forum dan bicara industri fesyen, pelancaran produk, bengkel gaya serta sesi ramah mesra bersama pereka, selebriti dan pempengaruh tempatan. Turut memeriahkan acara ialah pertandingan kostum animasi dan pertunjukan fesyen melibatkan 20 jenama pereka tempatan serta 10 institusi pengajian tinggi dalam bidang fesyen dan peragaan.

Menurut Menteri KPDN, YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, penganjuran MGM2025 adalah manifestasi komitmen kerajaan bersama MBDA dan rakan strategik lain dalam memperkukuh ekosistem fesyen tempatan agar lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Industri fesyen Malaysia mempunyai potensi besar untuk berkembang pesat. Dengan sokongan rakyat, kita mampu melonjakkan industri ini sekali gus memperkukuh identiti Malaysia di persada dunia. Jom beli lokal,” katanya.

Program MGM edisi lalu (2024) mencatatkan nilai jualan RM1.1 juta, peningkatan 39.16 peratus berbanding RM802 ribu pada 2023. Potensi industri fesyen terus cerah apabila kajian Shopperboard pada Mei 2025 menganggarkan penembusan e-dagang dalam sektor ini mencecah 19.2 peratus dengan nilai jualan USD5.24 bilion.

Sementara itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjangkakan industri tekstil dan pakaian negara mampu berkembang daripada USD3.5 bilion setahun kepada USD4.47 bilion menjelang 2030.

KPDN menyeru orang ramai hadir memeriahkan MGM2025 dan memberi sokongan kepada pereka, usahawan serta jenama tempatan, sekali gus membantu melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.