Sokongan PMX kepada GSF diputar belit, perangai keji pembangkang dibidas

Ramai dilihat kesal dengan perangai keji penyokong pembangkang yang mempolitikkan isu misi kemanusiaan Sumud Flotilla hanya kerana penglibatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara kritikan pengguna media sosial yang menarik perhatian ialah Tun Farul Azri menerusi hantaran di Facebook beliau yang antara lain menggelar golongan terbabit sebagai “si bingai bodo piang yang baru bangun tidur”.

Beliau menempelak mereka yang disifatkan merentan berpolitik bebal di media sosial sebagai tidak tahu pun sebenarnya mengenai misi Sumud Flotilla yang ke-37.

“Setakat ini belum ada yang pernah berjaya lagi mendarat di Gaza. Greta Thunberg (aktivis alam sekitar dari Sweden) dah pergi dua kali. Ini kali kedua dia ditangkap.

“Selain untuk hantar bantuan kemanusiaan, misi kali ini adalah untuk pecahkan kepungan (Israel) dan ‘break world silence’,” tegasnya yang setakat ini meraih lebih 3,000 emoji tanda setuju dan suka daripada warganet.

Tun Farul berpendapat misi kemanusiaan yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara itu sudah memecah keheningan dunia apabila banyak negara sudah mula membuka mata terhadap kekejaman Israel.

Jelasnya, sebagai contoh, Colombia mengusir semua diplomat Israel yang masih berada di negara itu sebagai tindak balas terhadap tindakan tentera laut rejim menawan kapal flotilla bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menculik lebih 200 aktivis.

“Paling tidak, Sumud Flotilla sudah berjaya buat dunia bangkit dari tidur macam korang-korang yang dok tekan-tekan PMX di media sosial ni juga.

“Walhal, bingai-bingai yang bising ni semua tak tahu pun PMX Anwar Ibrahim tu adalah Penaung bagi Sumud Nusantara,” katanya lagi.

Untuk rekod, sebagai penaung misi Sumud Nusantara, Perdana Menteri memberi reaksi pantas dalam menggerakkan usaha diplomatik bagi memastikan pembebasan segera sukarelawan dan aktivis negara.

Beliau segera mengadakan rundingan dengan pemimpin dunia termasuk rakan sejawat dari Turkiye, Mesir dan Arab Saudi.

Anwar turut merancang untuk mengadakan perbualan terus dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, bagi menuntut campur tangan segera Washington.

Malah, beliau menegaskan Malaysia tidak akan berdiam diri serta menyifatkan tindakan rejim penjajah Israel menahan aktivis antarabangsa dan menghalang bantuan kemanusiaan daripada sampai ke Gaza sebagai bukti jelas keruntuhan nilai kemanusiaan sejagat.

Mengulas lanjut, Tun Farul menegaskan bahawa kerajaan Malaysia tahu apa untuk dilakukan dalam berdepan tindakan rejim zionis selain peserta misi Sumud Flotilla juga telah melakukan segala persiapan malah bersedia untuk syahid.

“Kau yang baru bangun tidur, baru nak ambil tahu hal Sumud, tenang ok. Jangan merentan tak tentu fasal. Tak payah menggelabah “kenapa PMX kutuk je serangan tu, kenapa ni?”

“Biar mereka buat kerja mereka. Kita-kita ni teruskan berdoa. Dari kau sibuk merentan berpolitik tu dok tekan-tekan Kerajaan, baik kau gunakan internet kau untuk tekan zionis,” tambahnya lagi.

Setakat jam 10 malam tadi, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, mengesahkan 23 aktivis Malaysia telah ditahan tentera Israel pada jam 4.25 petang selepas komunikasi terputus serta visual menunjukkan penahanan mereka.

Sani Araby turut memaklumkan bahawa pasukan perundangan Malaysia yang berada di Jordan bersiap siaga untuk menjadi wakil dalam sebarang proses soal siasat dan tindakan susulan berkaitan.

BACA JUGA Nyaris jadi mangsa scam ‘beli ikan 5 kg percuma 2 kg’, pegawai bank pun terkejut