AMANAH Johor kecam Israel tahan rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla
Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor mengecam keras tindakan tentera Israel menahan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, penahanan itu merupakan bukti keangkuhan Israel yang berterusan melanggar undang-undang antarabangsa serta menghalang usaha membawa bantuan kepada rakyat Palestin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sri Gading menegaskan Israel mesti segera membebaskan semua sukarelawan, termasuk rakyat Malaysia, tanpa sebarang syarat.
“Kerajaan Malaysia digesa menggunakan segala saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa bagi memastikan keselamatan rakyat kita yang terlibat dalam misi GSF.
“Masyarakat antarabangsa, khususnya PBB dan OIC, juga tidak boleh terus berdiam diri terhadap kekejaman Israel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdiri teguh
Menurutnya, AMANAH Johor berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan akan terus menyokong usaha solidariti bagi membela Gaza.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru semua pihak termasuk NGO, parti politik dan rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik agar bersatu mengecam Israel serta memperkukuhkan sokongan terhadap perjuangan Palestin.
Terdahulu, masyarakat dunia dikejutkan dengan penahanan secara salah oleh tentera Israel terhadap aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Rejim Israel menyatakan mereka telah menghentikan 41 flotila yang membawa bantuan ke Gaza manakala hanya tinggal sebuah kapal bernama Marinette setakat ini yang masih berlayar cuba memecahkan sekatan.
Sejak akhir Ogos lalu, kira-kira 50 buah kapal belayar ke Gaza membawa 532 aktivis kemanusiaan dari lebih 45 negara menuju perairan wilayah yang disekat rejim pengganas itu.
BACA JUGA Lebih 45 bot awam Turkiye bergerak ke Gaza selepas aktivis Sumud Flotilla diculik