Inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) jejaskan subsidi asal nelayan berdaftar?

Pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) yang menawarkan petrol pada harga RM1.99 ialah faedah tambahan untuk 112,000 nelayan berdaftar.

Ia sama sekali tidak menjejaskan subsidi asal untuk nelayan, kata pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil.

“Sebab bagi pemilik bot yang menggunakan enjin petrol, mereka perlu ke stesen minyak untuk membeli minyak.

“Jadi dengan penjimatan yang kerajaan lakukan hari ini pada harga RM1.99 seliter, ia mengurangkan kos operasi dan perjalanan nelayan itu sendiri.

“Ini sepatutnya meningkatkan produktiviti ataupun pengeluaran ikan,” katanya dalam sidang media pasca Majlis Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM yang turut menyaksikan penyerahan dua unit set janakuasa kepada Persatuan Nelayan Muar menerusi Bantuan Geran Pembangunan dan Pemerkasaan semalam.

Pemilik bot berdaftar menerima manfaat Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan pada harga RM1.65 seliter selain Elaun Sara Hidup Nelayan berjumlah RM300 sebulan.

Dalam pada itu, Faiz turut menggalakkan nelayan menceburi bidang penternakan ikan.

“Hasil laut ini lama kelamaan makin berkurangan. Kebanyakan kawasan pesisir ketika ini terlibat dengan pembangunan yang melibatkan aktiviti tambak laut yang boleh menjejaskan kawasan tangkapan nelayan,”