Segerakan siasatan salah laku disiplin ke atas Rafiq
Ketua bahagian Bersatu Selayang Ahmad Nasir Mid telah meminta Lembaga Disiplin Bersatu menyegerakan siasatan salah laku disiplin ke atas timbalan ketua badan perhubungan negeri Selangor Mohd Rafiq Abdullah.
Rafiq juga Adun Kuang.
Ini ekoran aduan yang difailkan pada 23 Sept tidak diambil tindakan setakat ini.
“Lembaga Disiplin dan pucuk pimpinan perlu segera menangani isu ini.
“Jika dalam isu Datuk Wan Saiful Wan Jan, Lembaga Disiplin mengeluarkan notis panggillan dalam masa tiga hari saja, mengapa aduan terhadap timbalan kepada Datuk Seri Azmin mengambil masa yang lebih lama?
“Adalah buruk jika Lembaga Disiplin bertindak secara selektif.
“Saya bimbang akan tersebar lebih luas persepsi salah bahawa parti ini sudah dikuasai oleh individu yang memperalat Lembaga Disiplin untuk melindungi kedudukan rnereka, sehingga timbalan kepada Azmin di Selangor seolah-olah kebal dan ada imuniti,” kata Ahmad Nasir dalam kenyataan.
Beliau telah membuat laporan susulan gerak kerja memujuk AJK bahagian Selayang meletakkan jawatan.
Sekiranya cukup bilangan yang letak jawatan, jawatankuasa bahagian tersebut akan terbubar dan satu jawatankuasa penaja baru boleh dilantik.
“Adakah terdapat pihak yang berniat meletakkan proksi-proksi mereka sebagai jawatankuasa penaja untuk menambah pengaruh mereka dalam parti?”
BACA JUGA: Kritik Tun Faisal sama dengan kritik parti? soal ketua Bersatu Pendang