Sah, kesemua 23 sukarelawan GSF dibebaskan, kata PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan semua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, sudah dibebaskan.
Kesemua 23 akan dibawa ke Lapangan Terbang Ramon di Israel, petang ini, sebelum menuju ke Istanbul, Turkiye.
Mereka dijangka mula pulang ke tanah air pada esok malam atau lusa.
“Alhamdulillah, sekarang 23 aktivis sedang menuju ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel (sebelum dibawa) dengan pesawat khas dari Turkiye untuk mengangkat mereka ke Istanbul.
“Rundingan saya dengan Ketua Risikan Malaysia yang ada di Ankara (Turkiye) ketika ini untuk menyelaraskan, bersama duta besar dan kedutaan Malaysia di Ankara.
“Mereka akan berlepas pulang esok malam atau lusa. Itu kita sedang atur,” katanya demikian dalam satu kenyataan secara langsung menerusi Facebook beliau hari ini.
“Lebih baik mereka itu menginap di Istanbul, satu, satu setengah hari dulu untuk siasatan kesihatan dan akibat trauma, tekanan rejim zalim Israel yang sudah bertindak agak keras terhadap mereka, saya setuju.
“Sekarang ini kita dapat berita yang sangat menyenangkan dan tentunya kita juga dengan semua rundingan ini, saya tidak hanya membatasi keselamatan rakyat Malaysia dan Turkiye.
“Kita juga bicara tentang semua termasuk eropah, rakan Indonesia dan lain negara yang bersama dalam rombongan pembebasan Sumud Flotilla yang pada hemat saya sangat berjaya,” katanya.
Ada tiga anggota misi GSF dari Malaysia yang keberatan untuk menandatangani arahan pengusiran dari Israel.
“Tapi pendapat kita adalah untuk mereka bersetuju dan kita bincang juga dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby untuk mengajak semua pulang,” katanya.
Anwar turut menegaskan usaha pembebasan ini membabitkan kerjasama erat Türkiye.
“Melalui kerjasama penuh kerajaan Turkiye, ini langkah menyusul rundingan diplomatik yang agak panjang termasuk (menerusi) Kementerian Luar, (oleh menterinya) Datuk Seri Mohamad Hasan sendiri dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco (Antonio) Rubio.
“Selain itu, kerajaan Jordan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan wakil khas Presiden AS, Steve Witkoff dan saya sendiri dengan Perdana Menteri Qatar dan Ketua Keselamatan Negara Turkiye, Dr Ibrahim Kalin,” katanya.
BACA JUGA: Ahad 6 petang waktu Washington… tempoh waktu untuk Hamas bersetuju dengan pelan perdamaian Gaza