Acara agensi Kementerian Pelancongan ada minuman beralkohol? Ini penjelasan menterinya

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan bahawa acara Global Travel Meet yang tular kerana ada minuman beralkohol bukanlah anjuran mana-mana agensi di kementeriannya.

Ini ekoran daripada tuduhan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang menentang minuman beralkohol dihidang bersekali.

“Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya terdapat minuman beralkohol dalam sebuah majlis makan malam yang dianjurkan oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, sehingga menyebabkan tetamu Muslim meninggalkan majlis lebih awal adalah tidak berasas sama sekali serta amat mengelirukan!!” katanya dalam satu hantaran Facebook

“Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah, yang Berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta. Majlis makan malam yang dijadikan isu oleh YB Mas Ermieyati sebenarnya adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta.

“Mereka begitu teruja kerana buat julung kalinya kita mengambil inisiatif menganjurkan acara global sebegini, dan atas semangat tersebut, mereka berhasrat menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam tersebut.”

Tiong turut menegur Mas Ermieyati kerana menggunakan Perlembagaan Persekutuan untuk membuat tohmahan bahawa majlis tersebut adalah acara rasmi.

“Saya juga ingin menyeru YB Masjid Tanah agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan Perlembagaan Persekutuan untuk mengelirukan rakyat. Majlis bukan rasmi seperti ini tidak ada kaitan dengan hal tersebut.

“Mengeluarkan kenyataan tanpa memahami fakta sebenar bukan sahaja mengelirukan, malah menampakkan kejahilan.Jika orang seperti Mas Ermiyati terus mengeluarkan kenyataan tanpa fakta dan bersifat fitnah seperti ini hanya untuk mempopularkan diri sendiri, ia hanya akan menimbulkan keragunan serta menjejaskan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia dan akhirnya ini langsung tidak akan menguntungkan sesiapa.”

Ini adalah kali kedua Mas Ermiyati membuat tohmahan berkaitan Tiong.

BACA JUGA: Pagoh, Muar antara sasaran AMANAH dalam PRU akan datang