RM35 juta peruntukan tambahan perkasa PPR – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM35 juta bagi memperluaskan pelaksanaan program Kita-Untuk-Kita (K2K) di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan itu sekali gus akan memperkasakan lagi komuniti perumahan awam bandar sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, peruntukan tersebut akan membolehkan program K2K dilaksanakan secara berperingkat sehingga 2024 yang juga akan membabitkan usahasama kerajaan negeri Selangor.
“Menyedari pentingnya usaha ini dilipatgandakan di lebih banyak kawasan perumahan awam khususnya di sekitar Lembah Klang, sukacita saya setuju untuk meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM35 juta.
“Ia bagi memperluas pelaksanaan program K2K secara berperingkat sehingga 2024 melibatkan 10 PPR di Kuala Lumpur dan Selangor.
“InsyaAllah, ikhtiar ini pastinya dapat memberi manfaat kepada lebih 50,000 warga PPR untuk menikmati kehidupan yang lebih sejahtera,” ujarnya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Kita-Untuk-Kita (K2K) di Blok C, PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam, Selangor hari ini.
Beliau berkata, program K2K antaranya bertujuan membina kapasiti dan memperkasa peranan komuniti untuk menggalas tanggungjawab bersama terkait hal pengurusan bangunan, persekitaran serta pengisian termasuk bantuan memasarkan pengeluaran hasil perniagaan di kawasan perumahan awam.
Program itu dianjurkan dengan inisiatif Think City iaitu anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed.
Anwar berkata, komitmen Kerajaan Perpaduan dalam mengangkat suara rakyat, menjamin kehidupan yang lebih bermakna adalah jelas dan nyata.
“Setiap warganegara berhak memiliki kehidupan yang selamat, berdaya huni dan punyai akses kemudahan asas yang terbaik.
“Harapan saya tentunya program K2K ini dapat mengangkat dan memperkasa warga komuniti perumahan awam untuk hidup lebih baik berbanding sebelumnya.
“Bagi memastikan keberkesanan program, saya sendiri memberi komitmen untuk mempengerusikan mesyuarat pertama bagi menyelaras usaha meningkatkan daya huni perumahan awam antara pihak kerajaan dan swasta,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Menara KL: Pengarah didakwa beri rasuah RM500,000 untuk Annuar Musa
Â