K2K tingkat kualiti, taraf hidup penghuni PPR

Kerajaan negeri Selangor bekerjasama dengan Think City Sdn Bhd (Think City) untuk menggerakkan program Kita Untuk Kita (K2K) dalam membantu komuniti perumahan awam meningkatkan kualiti dan taraf hidup penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata usaha-usaha yang dilakukan secara bersama ini telah berubah menjadi sesuatu yang lebih besar dan berpanjangan dengan sokongan daripada sektor swasta dan organisasi yang bukan berasaskan keuntungan.

Menurutnya, program K2K menerusi projek perintis yang telah dilakukan di PPR Kampung Baru Hicom telah mengambil pendekatan menyeluruh, bekerjasama dengan komuniti untuk mencari jalan penyelesaian memenuhi aspek sosial, ekonomi dan fizikal.

“Program K2K ternyata dapat menempuhi ujian masa dengan memperkasa komuniti melalui pemberdayaan ketua-ketua komuniti.

“Ini ialah satu contoh usaha kerajaan negeri Selangor yang terus komited dalam mengubah persepsi perumahan awam yang dahulunya dipandang rendah dan tidak diingini,” ujarnya.

Anwar sempat berbual dengan surirumah di PPR Kampung Baru Hicom yang mengusahakan jualan berasaskan makanan.

Katanya lagi, kehidupan yang sihat di PPR adalah ke arah mewujudkan persekitaran yang bukan sahaja menawarkan perumahan mampu milik yang berdaya huni kepada rakyat tetapi juga supaya mereka dapat hidup secara bermaruah.

Amirudin berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran program K2K di PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam, Selangor, hari ini.

Beliau turut teruja melihat inisiatif-inisiatif yang telah diusahakan oleh Think City yang bertujuan untuk mengembalikan serta menanam semangat dalam kalangan penduduk PPR di samping memperkukuh kehidupan ekonomi mereka.

Selain itu katanya, kerajaan negeri akan lebih komited untuk memperbaiki mutu perkhidmatan dalam membantu menyelesaikan keperluan dan kehendak penduduk demi kesejahteraan rakyat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah melancarkan program K2K, sebuah inisiatif di bawah Belanjawan 2023 yang bertujuan untuk meningkatkan daya huni perumahan awam.

Program K2K akan melalui empat cabang kritikal iaitu pemerkasaan komuniti, pengurusan bersama komuniti, menambahbaik penjanaan pendapatan dan reformasi polisi.

Dimulakan di Kuala Lumpur dan diperluaskan ke Selangor, program itu bertujuan untuk memangkin sokongan terhadap komuniti perumahan awam dan pengurusan bangunan.

BACA JUGA RM35 juta peruntukan tambahan perkasa PPR – PM Anwar

Â