Semangat Malaysia Madani tingkatkan daya huni perumahan awam
Program Kita Untuk Kita (K2K) oleh Think City bertujuan untuk memangkin sokongan terhadap komuniti perumahan awam dan pengurusan bangunan bagi menangani cabaran sosial, ekonomi dan fizikal.
Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed berkata selaras dengan Malaysia Madani, program K2K menekankan sebuah matlamat bersama dalam mencapai hasil yang lebih saksama dan responsif kepada keperluan dan aspirasi komuniti.
Menurutnya, program itu juga akan diterajui oleh ketua komuniti dan organisasi berasaskan komuniti yang disokong oleh Think City melalui kolaborasi dengan rakan usaha sama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Program (K2K) ini juga turut diperkukuhkan oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan yang merangkumi pemegang-pemegang taruh awam dan swasta.
“Ini adalah bertujuan untuk menyegerakan koordinasi dan pelaksanaan senada dengan semangat Malaysia Madani sekali gus memanfaatkan komuniti perumahan tempatan,” katanya pada Majlis Pelancaran Program K2K di Pangsapuri PPR Kampung Baru Hicom, hari ini.
Beliau turut berharap dapat membentuk sebuah haluan yang demokratik dan berdaya tahan berasaskan kepercayaan dengan komuniti perumahan awam, jaringan dan rakan usaha sama untuk melaksanakan program-program yang komprehensif dan berkesan.
Tambahnya, usaha yang dilakukan itu juga selari dengan strategi syarikat induknya, Khazanah iaitu Advancing Malaysia untuk menyumbang kepada nilai sosial dan ekonomi yang memberikan impak kepada rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Wanita PPR Kampung Hicom (Perwacom), Noor Hayati Ismail turut berkongsi pengalaman terhadap cabaran kehidupan sebenar komuniti perumahan awam.
Katanya, Perwacom tidak mahu menjadi sebuah komuniti yang hanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan tetapi mengharapkan sokongan yang membolehkan mereka membina masa depan yang lebih baik di hari tua dan masa depan anak-anak mereka.
“Sebuah pendekatan yang komprehensif diperlukan dalam mengubah perumahan awam daripada jerat kemiskinan kepada sebuah tempat yang makmur.
“Kita perlu bersama-sama memperbaharui perumahan awam selari dengan perubahan persekitaran kehidupan urban dan aspirasi generasi muda.
“Perumahan awam adalah kediaman bagi anak-anak kita untuk mengimpikan kehidupan yang lebih baik dan untuk anak-anak mereka serta generasi seterusnya,” ujarnya.
Sejak sedekad yang lalu, Think City sebagai sebuah organisasi impak untuk menjadikan bandar-bandar lebih mesra rakyat, berdaya tahan dan berdaya huni telah melaksanakan usaha menambahbaik bandar-bandar Malaysia merentasi semua komuniti urban terutamanya komuniti rentan.
Think City juga telah menjalankan program penyelidikan dan intervensi di perumahan awam dan komuniti tempatan di negara ini bermula dengan komuniti perumahan di George Town, Pulau Pinang dan sejak itu, ia telah berkembang di Kuala Lumpur dan Selangor.
BACA JUGA K2K tingkat kualiti, taraf hidup penghuni PPR
Â