Anak saudara isteri Hadi ingatkan YB Pas boleh cenderung syirik
Kenyataan seorang pemimpin Pas yang menyindir zaman pemerintahan Kerajaan Madani sebagai “terlalu banyak suwei” atau sial dilihat bercanggah dengan ajaran Islam.
Anak saudara isteri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa dalam Islam, tidak ada manusia, benda mahupun waktu yang boleh dianggap membawa sial, kerana semua perkara berlaku atas izin dan ketentuan Allah SWT.
Miqdad Zakaria berkata, kepercayaan bahawa seseorang atau sesuatu boleh membawa nasib malang dikenali sebagai ṭiyarah (طِيَرَة).
Jelasnya, ia tergolong dalam kategori syirik kecil (syirik asghar) kerana ia menunjukkan seolah-olah ada kuasa lain selain Allah yang menentukan untung nasib manusia.
“Dalam Islam, tidak ada manusia, benda, atau waktu yang membawa sial. Semua takdir datang daripada Allah, bukan kerana makhluk,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tiada ṭiyarah (kepercayaan sial), dan sebaik-baik perkara itu ialah fa’al (sangkaan baik).” (Riwayat Muslim)
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Datuk Hanafiah Mat menempelak zaman kerajaan MADANI yang digelarnya ‘zaman ketimbang’ dengan sial.
“Zaman ketimbang ni terlalu banyak suwei. Ketimbang dan suwei tidak dapat dipisahkan,” sindirnya dalam satu hantaran di media sosial.
Mengulas lanjut, Miqdad berkata, Islam menganjurkan umatnya bersangka baik (fa’al) terhadap sesuatu perkara, bukan mempercayai tanda-tanda tertentu sebagai pembawa tuah atau malang.
“Jika seseorang meninggalkan sesuatu kerana takut ‘orang itu sial’ atau ‘hari itu tidak elok’, maka dia telah terlibat dalam syirik kecil,” katanya sambil memetik hadis riwayat Ahmad yang dinilai sahih oleh al-Albani.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengulangi kepercayaan lama seperti “pembawa suwei” yang bersifat khurafat, sebaliknya menggantikan kepercayaan negatif itu dengan doa dan tawakkal kepada Allah.
“Percaya kepada pembawa sial termasuk kepercayaan khurafat dan syirik kecil. Islam hanya menggalakkan kita bersangka baik. Itulah yang sepatutnya ditanam dalam jiwa,” tegas Miqdad lagi.